KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mensasarkan pertumbuhan pelaburan yang diluluskan antara 8 hingga 10 peratus tahun ini daripada RM329.5 bilion yang direkodkan tahun lalu.
Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia berdasarkan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang ditetapkan kerajaan tahun ini pada kadar empat hingga lima peratus.
Malah kata Tengku Zafrul, beliau masih lagi berbincang dengan agensi kerajaan berkaitan berhubung angka sasaran yang wajar dan ia perlu lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya serta berkait dengan KDNK.
“Saya rasa sasaran perlu ada kaitan dengan KDNK. (Sasaran) itu perlu lebih tinggi berbanding tahun lalu.
“Ia (sasaran) juga perlu lebih dua kali ganda daripada sasaran pertumbuhan KDNK, jadi minimum lapan hingga 10 peratus.
“Seterusnya kita perlu melihat kepada kitaran industri, bagi elektrik dan elektronik ia berada dalam kitaran menaik namun, terdapat lebihan bekalan pada industri-industri lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media tahunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi pembentangan prestasi pelaburan Malaysia tahun lalu.
Pada 22 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion pada 2023, meningkat 23 peratus berbanding 2022 sekali gus menyaksikan jumlah itu adalah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara.
Kata beliau, pelaburan asing merupakan penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2 peratus berbanding pelaburan domestik sebanyak 42.8 peratus.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul menjelaskan, untuk tahun ini, pihaknya telah menerima minat daripada bakal pelabur membabitkan nilai projek berjumlah RM88.82 bilion.
Katanya, selain itu, terdapat 1,710 projek dalam perancangan dengan cadangan pelaburan berjumlah RM87.8 bilion.
“MITI dan MIDA juga sedang berbincang dengan sebuah institusi penting di China untuk mengukuhkan pelaburan asing dua hala.
“Kami kini berada pada peringkat rundingan lanjutan untuk memuktamad perjanjian yang berfokuskan kepada promosi pelaburan asing untuk menggalakkan aliran pelaburan, dengan menggalakkan firma China meneroka peluang di Malaysia di samping memudahkan perusahaan Malaysia untuk berkembang ke China,” katanya. – UTUSAN










