PETALING JAYA: Keputusan mahkamah terhadap CTOS Digital Bhd. dijangka tidak mempengaruhi perniagaan mereka secara keseluruhan walaupun isu berkenaan memberi gambaran negatif terhadap agensi pelaporan kredit itu, kata penganalisis.
Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains İslam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berpendapat, keputusan tersebut merupakan kes terpencil dan dilihat tidak menjejaskan perkhidmatan CTOS kepada pelanggan mereka khususnya institusi perbankan, syarikat kewangan atau perseorangan.
“Hal Ini kerana CTOS masih lagi mempunyai lesen yang membenarkan mereka menyediakan produk perkhidmatan berkaitan maklumat kredit di bawah Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010 (CRA 2010) dan Bank Negara Malaysia (BNM) masih tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berkaitan isu ini.
“Selain itu, perkhidmatan penilain skor kredit adalah amalan standard dalam industri yang ditawarkan oleh sebahagian besar agensi pelaporan kredit di seluruh dunia termasuk Malaysia bagi memberi gambaran tentang keupayaan kewangan pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Faisol memaklumkan, bagaimanapun, keputusan ini memberi tamparan negatif kepada CTOS tentang penilaian kredit pelanggan yang tepat dan kawalan maklumat yang betul.
“Adakah Malaysia memerlukan sebuah lagi agensi lain yang mampu menawarkan perkhidmatan skor kredit yang lebih mesra pelanggan dan dipercayai bagi mengelak wujudnya kuasa monopoli dalam pasaran penilain skor kredit di Malaysia?
“Pihak CTOS harus mengambil perkara yang berlaku ini sebagai satu yang serius ke arah penambahbaikan perkhidmatan mereka di masa akan datang supaya keyakinan institusi kewangan dan orang ramai terhadap CTOS masih kukuh seterusnya pembaharuan lesen CTOS Data Systems diluluskan setiap tahun,” katanya.
Semalam, media melaporkan saham CTOS jatuh ke paras terendah sejak Julai 2022, susulan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa agensi pelaporan kredit itu tidak diberi kuasa secara sah untuk merumuskan skor kredit.
Mahkamah Tinggi memerintahkan CTOS untuk membayar RM200,000 sebagai ganti rugi am kepada Suriati Mohd. Yusof yang memiliki sebuah resort di Pulau Perhentian atas penarafan kredit yang tidak tepat.
Sementara itu, Penganalisis RHB Investment Bank, Lee Meng Horng berkata, langganan terhadap perkhidmatan CTOS tidak terjejas terhadap anak syarikat milik penuhnya, CTOS Data Systems Sdn. Bhd. dan perniagaan syarikat penyedia maklumat kredit itu akan berjalan seperti biasa.
.
“Berdasarkan semakan saluran kami dengan beberapa institusi kewangan yang melanggan perkhidmatan CTOS dan juga daripada perbualan CTOS sendiri dengan pelanggan, langganan perkhidmatannya tidak terjejas.
“Kami difahamkan bahawa keputusan mahkamah yang memihak kepada plainitif adalah berdasarkan tuntutan fitnah, bukannya kepada kesahihan menyediakan nilai tambah perkhidmatan seperti skor kredit,” katanya. – UTUSAN










