Glomac raih untung RM3.81 juta, melonjak 800 peratus - Utusan Malaysia

Glomac raih untung RM3.81 juta, melonjak 800 peratus

UNTUNG bersih Glomac bagi suku ketiga tahun kewangan 2024 lebih tinggi dipacu hasil yang lebih tinggi daripada perniagaan pembangunan dan pelaburan hartanahnya. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keuntungan bersih Glomac Berhad melonjak lebih 800 peratus kepada RM3.81 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Januari 2024 daripada RM419,000 pada suku sama tahun sebelumnya, dipacu hasil yang lebih tinggi daripada perniagaan pembangunan dan pelaburan hartanahnya.

Hasil suku tahunan meningkat 35.4 peratus kepada RM89.35 juta daripada RM66 juta setahun lalu.

Bagi asas suku ke suku, keuntungan bersih kumpulan menyaksikan lonjakan yang sama daripada RM483,000 pada suku kedua tahun kewangan 2024, manakala hasil meningkat 60.14 peratus daripada RM55.8 juta, dipacu jualan yang lebih baik daripada projek siap.

Glomac berkata, Allamanda iaitu fasa terbaharu rumah teres dua tingkat di Saujana KLIA telah dilancarkan dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM35 juta.

“Perbandaran Saujana KLIA terus menikmati kadar pengambilan yang kukuh, dengan semua rumah teres dan pejabat kedai fasa sebelumnya dijual sepenuhnya. Ini termasuk fasa sebelumnya, Primrose yang telah siap dan berjaya diserahkan kepada pembeli pada Januari lalu,” katanya dalam kenyataan.

“Keys at Lakeside Residences terdiri daripada 98 rumah berkembar dengan jumlah anggaran GDV RM234 juta. Keluaran pertama 42 unit mendapat minat yang tinggi dan unit baharu dijangka dilancarkan serentak,” menurut kenyataan.

Bagaimanapun, bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2024, keuntungan bersih Glomac susut 52 peratus kepada RM8.36 juta daripada RM17.41 juta dalam tempoh sama tahun lalu, berikutan sumbangan yang lebih rendah daripada segmen pembangunan hartanah dan kos kewangan yang lebih tinggi.

Hasil sembilan bulan pula susut 2.22 peratus kepada RM205.26 juta daripada RM209.93 juta.

“Pendapatan bagi tempoh tersebut dipacu oleh aktiviti pembinaan yang mantap di projek pembangunan berterusan kumpulan iaitu 121 Residences, Plaza@ Kelana Jaya dan fasa berterusan di Saujana KLIA dan RUMA 33 di Saujana Utama 5,” katanya.

Tumpuan Glomac kekal dalam segmen kediaman mampu milik dan pasaran pertengahan, di mana kumpulan telah berjaya membina jenama yang kukuh dengan produk yang menekankan kepada konsep gaya hidup berkualiti, inovatif dan digital.

“Walaupun kebimbangan yang semakin meningkat terhadap inflasi, kami dapat melihat peningkatan dalam jualan dan kestabilan dalam bekalan buruh dan kadar faedah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN