KEPALA BATAS: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menjalinkan kerjasama dengan AmBank Islamic bagi menawarkan program iTEKAD dengan agihan modal permulaan perniagaan sebanyak RM200,000 yang dibiayai sepenuhnya oleh AmBank Islamic khusus buat usahawan empowerNCER di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Program iTEKAD itu diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sejajar dengan matlamat Belanjawan 2024, bertujuan untuk usahawan mikro yang terdiri daripada golongan asnaf dan B40 menjana pendapatan mampan dan telah disokong oleh institusi-institusi kewangan termasuk AmBank Islamic.
Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata, program iTEKAD peringkat Wilayah Utara yang dilancarkan turut melibatkan penyerahan bantuan modal permulaan perniagaan kepada 50 orang peserta empowerNCER di tiga buah negeri di NCER iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang manakala bagi negeri Perak pula telahpun dilaksanakan oleh AmBank Islamic bersama Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) pada Januari lalu.
Katanya, program terbabit memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran menerusi bimbingan dan latihan keusahawanan komprehensif secara percuma.
“Peruntukan iTEKAD oleh AmBank Islamic dilihat akan melengkapi program ini dengan menawarkan suntikan modal yang penting untuk sesebuah perniagaan khususnya perusahaan mikro.
“Saya yakin dengan tawaran pembiayaan modal iTEKAD daripada AmBank Islamic akan membantu usahawan empowerNCER melangkah lebih jauh dalam mengembangkan perniagaan termasuk memanfaatkan teknologi digital dan strategi pemasaran.
Selain itu, mereka juga akan dibekalkan dengan kit permulaan perniagaan oleh NCER,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pembangunan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) sentiasa menjadi keutamaan NCER menerusi pelaksanaan program pembangunan bakat malah telah membantu melahirkan lebih 81,000 usahawan di wilayah utara sejak 2019.
“Program berkenaan juga bertujuan untuk merapatkan jurang ekonomi antara bandar dengan luar bandar sekali gus memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan dan mewujudkan ekosistem ekonomi setempat yang kukuh bagi menarik kehadiran pelabur ke NCER,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, AmBank Islamic, Eqhwan Mokhzanee berkata NCER adalah rakan strategik yang ideal memandangkan penglibatannya yang mendalam dalam mengenal pasti asnaf yang berhak dan interaksi dengan pemegang taruh di peringkat akar umbi.
“Kami berbesar hati untuk memperluaskan sokongan kami kepada usahawan mikro di Wilayah Utara, menerusi kerjasama strategik dengan NCIA serta di sokong oleh Bank Negara Malaysia Pejabat Pulau Pinang.
“Program iTEKAD menekankan dedikasi kami untuk mendorong pertumbuhan ekonomi inklusif bagi semua rakyat Malaysia, merangkumi usahawan mikro Asnaf dan usahawan mikro B40,” katanya. – UTUSAN










