PETALING JAYA: Usahawan orang kurang upaya (OKU) fizikal, Mira Yusniaty Muslim, 39, mahu mengembangkan perniagaan kuih muih tradisional yang diusahakannya sejak 2019.
Rancangan itu susulan kejayaan dia memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 29 Disember 2023.
Kejayaan tersebut membuka ruang kepada Mira Yusniaty untuk cuba meluaskan pasaran kuih-muih yang dihasil termasuk ke hotel-hotel sekitar Negeri Sembilan.
Menurut Mira Yusniaty, setakat ini, dia mampu menghasilkan 16 jenis kuih muih tradisional termasuk kaswi santan leleh, kaswi kelapa, apam solo ros, sosej ‘roll’, puteri ayu, puteri ayu keju, apam coklat ‘moist’, talam berlauk, apam koko, apam pandan koko, dadih ‘tutti fruiti’, apam polkadot dan apam kampung.
“Saya memulakan perniagaan dari rumah selepas berhenti kerja pada 2016 akibat kemalangan dan mengalami kecacatan fizikal sehingga terlantar selama setahun di Bahau, Negeri Sembilan.
“Kejadian itu menyebabkan saya hilang upaya dan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan membuat kuih tradisional pada 2019.
“Malah, suami juga terpaksa berhenti kerja disebabkan saya terlantar selama setahun dan perlu membantu menguruskan rumah dan anak-anak masih kecil pada ketika itu yang baru berusia dua tahun dan seorang lagi berusia 10 bulan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelasnya, kini perniagaan kuih tersebut telah mendapat sambutan pelanggan untuk tempahan majlis hari jadi, jamuan, katering dan kenduri perkahwinan.
Mira Yusniaty yang mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 dalam bidang perkeranian itu berkata, perniagaannya turut dibantu suami, Zakaria Zainal Abidin, 38, bagi membantu membeli barang, menyediakan bahan untuk membuat kuih.
Tambahnya, perniagaan katering kuih-muih yang dipelajari melalui laman sosial seperti Facebook, Tiktok dan rakan usahawan lain semakin berkembang selepas mendapat sijil halal.
“Alhamdulillah, sekarang perniagaan saya bertambah baik sehingga mampu mencapai pendapatan bersih sebanyak RM1,000.
“Selain itu, saya turut menyertai kelas pembuatan kuih secara pendidikan jarak jauh (PJJ) untuk memastikan kualiti kuih dapat ditambah baik,” katanya.
Mira Yusniaty juga menasihatkan usahawan untuk mendapatkan sijil halal bagi memastikan produk terus dipercayai.-UTUSAN










