PETALING JAYA: Invest Selangor Berhad menyasarkan 25,000 peserta serantau bagi edisi keempat Selangor Aviation Show 2024 (SAS 2024) yang akan diadakan dari 12 hingga 14 September 2024, dari 10 pagi hingga 6 petang di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (RAC), Subang.
Menurut kenyataannya, SAS yang dihoskan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan dianjurkan oleh Invest Selangor, sebagai acara perangkaian untuk pemain industri aeroangkasa dan penerbangan, terutamanya daripada segmen perniagaan dan penerbangan Am.
“Tema SAS 2024 ialah “Satu-Satunya Perniagaan dan Acara Penerbangan Am di Rantau ini”, dengan matlamat untuk mempromosikan penerbangan perniagaan serantau, penerbangan am, serta aktiviti berkaitan dron.
“Acara ini juga berfungsi sebagai platform untuk syarikat tempatan mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka dan memberi peluang untuk menarik pelabur berpotensi untuk meningkatkan pertumbuhan dan perkongsian,” katanya di sini hari ini.
Invest Selangor berkata, SAS direka dengan teliti untuk memenuhi keperluan komuniti penerbangan perniagaan, tidak seperti pameran berkaitan penerbangan lain seperti LIMA atau Singapore Air Show.
Katanya, SAS mengiktiraf keperluan dan aspirasi unik segmen ini dan akan menjadi platform untuk menyerlahkan yang terbaik yang ditawarkan Selangor dari segi peluang penerbangan perniagaan.
Tambahnya, SAS sebelum ini telah mengumpulkan 109 syarikat asing dan tempatan sebagai peserta pameran, 49 pameran pesawat statik dan penyertaan dari negara seperti Amerika Syarikat, Denmark, Perancis dan Singapura.
“SAS 2024 telah mengembangkan saiznya dengan menambah hangar tambahan untuk acara tersebut dan menawarkan beberapa jenis ‘booth’ dan chalet yang bertujuan untuk memenuhi keutamaan dan permintaan pemain industri yang berminat untuk menyertainya.
“Terdapat sejumlah 52 booth skim shell yang akan disediakan untuk peserta SAS 2024, yang menduduki sejumlah dua hangar. Selain itu, SAS 2024 juga akan menawarkan rangkaian chalet untuk peserta yang lebih besar yang ingin mempunyai kawasan perbincangan peribadi mereka sendiri,” ujarnya.
Pemain industri yang berminat menyertai SAS 2024 boleh menghubungi sekretariat SAS di [email protected] sebelum 31 Mei 2024 untuk menikmati lima peratus diskaun awal.
Peserta pameran yang kembali juga boleh menikmati diskaun 10 peratus untuk penyertaan mereka. – UTUSAN










