PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor mengumumkan pelantikan Ts. Saipolyazan M Yusop sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, berkuat kuasa hari ini.
MBI dalam kenyataan memaklumkan, beliau menggantikan Norita Mohd. Sidek yang bersara dan telah menerajui MBI Selangor sejak 2020.
Jelas kenyataan tersebut, ahli Lembaga Pengarah, barisan pengurusan syarikat dan warga kerja MBI Selangor mengucapkan setinggi-tinggi perhargaan atas komitmen, jasa dan bakti yang dicurahkan Norita.
Jelasnya, MBI Selangor mengalu-alukan kedatangan Saipolyazan sebagai CEO baharu dan yakin dengan kredibiliti dan pengalaman lebih 30 tahunnya merentasi pelbagai industri dan geografi dapat meletakkan Syarikat ke tahap yang lebih tinggi.
“Saipolyazan pernah menyandang jawatan penting di beberapa syarikat dan GLC dalam dan luar negara termasuk Petronas, Telekom Malaysia, Celcom Axiata Berhad serta di sebuah konglomerat pembinaan terkemuka di Asia Barat.
“Keperibadian dan kepimpinan beliau terserlah apabila dilantik sebagai CEO di Lembaga Zakat Selangor dan Eksekutif Jet Aviation Sdn. Bhd. dan jawatan terakhir beliau ialah Ketua Pegawai Operasi MBI Selangor, “ katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi MBI Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut meyakini kepakaran dan kepimpinan dinamik Saipolyazan akan menjadi elemen nilai tambah kepada MBI dalam fasa-fasa transformasi tahun mendatang.
Dengan rekod cemerlang Saipolyazan dalam pelbagai sektor, beliau turut meyakini kolaborasi dan sinergi MBI dengan Kerajaan Negeri dapat dipacu ke tahap terbaik demi merealisasi agenda pembangunan mampan negeri Selangor.
MBI turut merakamkan setinggi-tinggi apresiasi atas khidmat bakti Norita sepanjang lebih tiga tahun perkhidmatan beliau selaku CEO MBI.
Di bawah kepemimpinan beliau, MBI telah melalui fasa pengukuhan tadbir urus dan tata kelola ke tahap terbaik melalui pelbagai inisiatif yang telah dicetuskan. – UTUSAN










