PETALING JAYA: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini berikutan kekurangan permintaan belian disebabkan Indeks dolar AS terus mengukuh.
Pada pukul 9.05 pagi, ringgit berada pada 4.7570/7620 berbanding dolar, berbanding 4.7155/7185 pada penutup Jumaat lalu, memetik laporan Bernama.
Menurut Pengarah Urusan Pengurusan Aset SPI, Stephen Innes, ringgit akan mengalami sedikit `kemunduran’ minggu ini kerana data pekerjaan AS yang kukuh menyaksikan dolar AS terus mendapat daya tarikan.
Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia bertambah baik berbanding yen Jepun kepada 3.1999/2035 daripada 3.2142/2164 pada penutup Jumaat lalu, menambah nilai berbanding pound Britain kepada 5.9976/6.0039 daripada 6.0160/0199 dan meningkat berbanding euro kepada 5.1252/1306 daripada 5.1352/1384 sebelumnya.
Bagaimanapun, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN lain.
Mata wang tempatan itu susut berbanding dolar Singapura kepada 3.5379/5418 berbanding 3.5309/5334 pada Jumaat, susut berbanding rupiah Indonesia kepada 303.7/304.2 daripada 301.0/301.4 dan jatuh berbanding peso Filipina kepada 8.48/8.49 daripada 8.43/8.44.
Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.3436/3640 daripada 13.3735/3873 pada Jumaat. – UTUSAN










