PETALING JAYA: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS yang mengukuh didorong oleh ekuiti AS terus menunjukkan prestasi menggalakkan, menurut penganalisis.
Memetik laporan Bernama, pada pukul 9.37 pagi, ringgit berada pada 4.7630/7665 berbanding dolar AS daripada 4.7570/7645 pada penutup semalam.
Menurut Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, indeks S&P 500 menghampiri 5,000 mata, manakala Perbendaharaan AS 10 tahun menyaksikan hasil yang lebih rendah sebanyak 4.093 peratus.
Katanya, ia menunjukkan permintaan positif daripada pelabur, di tengah-tengah pendirian Rizab Persekutuan (Fed) AS bahawa kadar mungkin tidak diturunkan dalam tempoh terdekat.
Katanya, berdasarkan perkembangan itu, sangat tidak pasti bahawa ia akan diterjemahkan kepada ringgit yang lebih kukuh, walaupun tanda-tanda teknikal berada pada tahap terlebih jual, situasi di mana pembetulan mungkin berlaku.
“Paling baik, kami percaya ringgit akan kekal sekitar RM4.76 berbanding dolar AS,” katanya.
Tambah beliau, tumpuan hari ini adalah sama ada indeks harga pengguna (CPI) China akan merekodkan kadar negatif untuk bulan keempat berturut-turut.
Katanya, jika berlaku, ia boleh menimbulkan persoalan sama ada kerajaan China akan meningkatkan ransangan untuk merangsang aktiviti ekonomi.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali berbanding yen Jepun di mana ia meningkat kepada 3.2137/2163 daripada 3.2159/2212 penutup semalam.
Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 6.0152/0196 daripada 6.0095/0190 dan susut berbanding euro kepada 5.1326/1364 daripada 5.1233/1314 sebelumnya.
Mata wang tempatan itu juga didagangkan lebih rendah berbanding mata wang ASEAN lain.
Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.5460/5489 berbanding 3.5415/5474 dan lebih rendah berbanding baht Thailand pada 13.3676/3819 daripada 13.3650/3917.
Ia juga rendah berbanding rupiah Indonesia pada 304.5/305.0 berbanding 304.2/304.8 dan susut berbanding peso Filipina kepada 8.51/8.53 daripada 8.50/8.52 sebelumnya. – UTUSAN










