Permintaan sektor ekonomi dijangka terus meningkat

Permintaan sektor ekonomi dijangka terus meningkat

GAMBAR hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permintaan dalam sektor ekonomi dijangka terus meningkat selaras dengan pemulihan global, peningkatan perbelanjaan pengguna dan aktiviti perniagaan yang lebih menggalakkan, menurut Ketua Pengarah Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin.

Beliau berkata, pasaran buruh negara juga dijangka kekal stabil pada suku tahun akan datang (suku pertama 2024) rentetan daripada pelaburan dan pertumbuhan dalam kebanyakan industri.

Katanya, pada suku tahun keempat 2023 menyaksikan pertumbuhan sederhana (jawatan baharu) di tengah-tengah gelombang makro ekonomi yang berlanjutan, konflik geopolitik dan sentimen berjaga-jaga dalam perniagaan menjelang 2024.

Beliau memberitahu, negara mencatatkan pertambahan jawatan sebanyak 179,500 pada suku keempat 2023 kepada 8.94 juta jawatan, peningkatan 2.1 peratus tahun ke tahun berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

“Bilangan pewujudan jawatan pada 2023 adalah yang tertinggi dalam siri masa iaitu 126,500 berbanding yang direkodkan pada 2022 (116,700) dan 2021 (69,500). Hal ini disebabkan oleh sokongan daripada permintaan domestik untuk memenuhi keperluan industri,” katanya dalam laporan Statistik Guna Tenaga Suku Tahun Keempat 2023.

Mohd. Uzir berkata, peningkatan jawatan pada suku keempat 2023, menunjukkan permintaan buruk di Malaysia kekal menggalakkan dan stabil, seterusnya menyokong prospek ekonomi yang lebih baik pada 2024.

Katanya, semua sektor ekonomi kekal stabil dan menunjukkan pertumbuhan positif dari tahun ke tahun, dengan sektor pertanian mencatatkan pertumbuhan tertinggi pada kadar 3.6 peratus, diikuti pembuatan (2.4 peratus) dan perkhidmatan (2.2 peratus).

Melihat kepada pecahan mengikut sektor ekonomi katanya, sejumlah 4.60 juta jawatan merangkumi 52.6 peratus daripada jumlah jawatan diisi tertumpu pada sektor perkhidmatan, diikuti Pembuatan (27.0 peratus; 2.36 juta) dan pembinaan (14.2 peratus; 1.24 juta).

“Mengikut kategori kemahiran, kategori separuh mahir merupakan penyumbang terbesar sebanyak 62.7 peratus dengan 5.48 juta jawatan, diikuti mahir dan berkemahiran rendah, masing-masing pada kadar 25.0 peratus (2.19 juta) dan 12.3 peratus (1.08 juta),” katanya lagi.

Mengulas lanjut kekosongan jawatan mengikut aktiviti ekonomi, Ketua Perangkawan berkata, kekosongan jawatan pada suku dikaji mengalami penurunan sebanyak 1.1 peratus tahun ke tahun dengan merekodkan 190,200 berbanding ST4 2022 sebanyak 192,400.

Beliau berkata, pewujudan jawatan dilihat lebih banyak pada suku tahun ini, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 31,100 jawatan baharu berbanding suku sama tahun sebelumnya, sebanyak 30,900 jawatan.

“Bilangan pewujudan jawatan pada 2023 adalah yang tertinggi dalam siri masa iaitu 126,500 berbanding yang direkodkan pada 2022 (116,700) dan 2021 (69,500). Hal ini disebabkan oleh sokongan daripada permintaan domestik untuk memenuhi keperluan industri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×