Penganalisis jangka pengeluaran msm turun

Penganalisis jangka pengeluaran minyak sawit turun

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis menjangkakan berlaku penurunan dalam pengeluaran minyak sawit untuk beberapa bulan akan datang.

Menurut mereka, penurunan itu ditambah lonjakan permintaan eksport, berpotensi mengurangkan stok minyak sawit Malaysia di bawah paras dua juta tan menjelang bulan depan, seterusnya mendorong kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM).

Data daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sebelum ini menunjukkan stok komoditi itu bagi Januari mencecah paras terendah dalam tempoh enam bulan berjumlah 2.02 juta tan.

Jumlah itu bagaimanapun, masih di bawah unjuran pasaran sebanyak 2.09 juta tan disebabkan penurunan pengeluaran dan eksport.

Dalam nota kajiannya, RHB Research menjangkakan pengeluaran minyak sawit berkurangan dalam beberapa bulan akan datang, disebabkan terdapat jangkaan kebangkitan semula dalam permintaan pasaran eksport, antaranya disebabkan musim perayaan Aidilfitri yang akan datang dan aktiviti penyimpanan semula.

Katanya, nisbah stok dan penggunaan tahunan pada Januari adalah 10.3 peratus, sedikit di atas kadar purata sebanyak 10 peratus.

“Kami menjangka paras stok akan terus menurun apabila pengeluaran menurun disebabkan musim pengeluaran yang rendah manakala eksport bertambah baik daripada permintaan bermusim,” katanya.

Melangkah ke hadapan, RHB menjangka La Nina menjadi kategori paling berkemungkinan sebanyak 58 peratus.

“Memandangkan tahun-tahun terakhir La Nina pada 2020 hingga 2023 adalah sederhana, ada kemungkinan La Nina 2024 boleh menjadi kuat,” ujarnya.

Maybank Investment Bank Bhd. pula berkata, harga MSM mungkin meningkat melebihi RM4,200 satu tan dalam beberapa bulan akan datang, berdasarkan jangkaan stok simpanan akan berkurangan di bawah dua juta tan menjelang akhir Februari.

Firma itu berkata, jika eksport Februari dapat dikekalkan sekitar 1.1 hingga 1.2 juta tan [memandangkan bulan kalender yang lebih pendek], akan terdapat pengeluaran inventori selanjutnya di bawah dua juta tan menjelang akhir Februari.

“Ini akan membantu mengukuhkan lagi harga MSM dalam jangka pendek berikutan kekurangan bekalan. Selepas itu, harga MSM akan menurun pada pertengahan 2024 disebabkan ketersediaan penuaian baharu di Amerika Selatan dan jangkaan pemulihan keluaran MSM pada separuh kedua 2024,” katanya.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd. pula menjangkakan, purata harga penghantaran MSM tempatan akan menyaksikan kenaikan bulan ke bulan sebanyak 4.8 peratus, kesan El-Nino dan ditutup pada RM3,900 satu tan bulan depan.

Firma penyelidikan itu meramalkan julat harga MSM antara RM3,600 hingga RM4,500 satu tan pada separuh kedua tahun ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN