PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menganjurkan program ‘Jom Shopping Kembali Ke Sekolah’ di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB).
Program diadakan di Pasar Raya Besar Mydin Subang Jaya itu merupakan salah satu tanggungjawab dan sumbangan khidmat sosial daripada MBPJ kepada komuniti Petaling Jaya yang memerlukan.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon telah menyerahkan baucar bernilai RM300 kepada 60 keluarga terpilih untuk membeli peralatan sekolah seperti pakaian seragam, kasut dan alat tulis.
Mohamad Zahri berkata, sumbangan itu diharap dapat meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan tetapi mempunyai tanggungan anak bersekolah yang ramai.
Katanya, program seperti itu secara tidak langsung dapat membentuk modal insan cemerlang dalam pendidikan tanpa anak-anak berkenaan berasa terpinggir dengan ketidakmampuan keluarga.
“Selain daripada itu, program ini menyokong Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dibawah Tema Strategi 2 iaitu memperkasa sokongan kebajikan sosial yang disasarkan kepada kumpulan rentan.
“Pada masa yang sama, program ini juga menyokong inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak dengan memberikan hak kepada kanak-kanak (child rights) untuk mengakses kepada pendidikan (access to education),” katanya dalam kenyataan
Beliau berkata, penerima sumbangan membabitkan penduduk yang berdaftar di bawah eKasih iaitu mereka yang mendiami PPR Kota Damansara, PPR Lembah Subang, Petaling Jaya Selatan (PJS) dan Desa Mentari. – UTUSAN










