Keuntungan sebelum cukai 2023 AFFIN turun 28.1 peratus

Keuntungan sebelum cukai 2023 AFFIN turun 28.1 peratus

WAN RAZLY ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan AFFIN (AFFIN) mencatatkan penurunan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak 28.1 peratus kepada RM518.3 juta bagi Tahun Kewangan 2023 (TK2023) daripada RM720.5 juta tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah  berkata, 2023 merupakan waktu mencabar kerana menyaksikan pemampatan margin akibat persaingan deposit ekoran kenaikan mendadak kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed AS) dan Bank Pusat Eropah (ECB).

Katanya, pemampatan margin faedah bersih (NIM) berterusan memberi impak kepada hasil, namun  Kumpulan itu telah menunjukkan daya tahan yang kuat.

“Bagaimanapun, kami terus membina asas yang kukuh bagi CASA; Pertumbuhan Pembiayaan; Nisbah Pinjaman Terjejas Kasar (GIL); Perlindungan Kerugian  Pinjaman (LLC); Rizab Kerugian Pinjaman (LLR); dan pemerolehan pelanggan bagi melonjak ke masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Wan Razly berkata, Kumpulan itu telah melebihi sasaran nisbah CASA sebanyak 25 peratus bagi 2023 dan berada di paras 26.7 peratus serta merupakan nisbah CASA tertinggi setakat ini.

Ujarnya, pencapaian CASA sebanyak RM7.7 bilion pada 2023 berjumlah RM18.9 bilion berbanding tiga tahun sebelumnya pada 2020 sebanyak RM11.2 bilion didorong oleh pengukuhan Perkhidmatan Pelanggan Tiada Tandingan dan strategi pemerolehan pelanggan yang berkesan.

Beliau menambah, jumlah keseluruhan aset telah melonjak melebihi RM105 bilion dipacu oleh pertumbuhan pinjaman memberangsangkan sebanyak 12.3 peratus dari tahun ke tahun (YoY) setakat Disember 2023.

Sementara itu, ahli ekonomi dalam Kumpulan itu berpendapat, Fed AS akan mengurangkan kadarnya sebanyak 75 mata asas (bps) menjelang akhir tahun 2024.

“Peningkatan ketara dalam aset Kumpulan akan meletakkan kunci kira-kira kami secara strategik untuk pengembangan NIM dengan potensi pengurangan kadar faedah pada akhir tahun ini,” katanya.

Katannya, Nisbah Pinjaman Terjejas Kasar semasa Kumpulan berada pada 1.90 peratus yang menandakan peningkatan ketara tahap pengunderaitan berbanding 3.52 peratus pada tahun 2020.

Tambahan pula, Rizab Kerugian Pinjaman Kumpulan itu telah mencapai 116.86 peratus dan merupakan satu peningkatan ketara berbanding 50 peratus Perlindungan Kerugian Pinjaman pada tahun 2020.

“Kami telah memperoleh pembiayaan alam sekitar, sosial dan prinsip tadbir urus (ESG) sebanyak 8.6 peratus pada 2023, melepasi sasaran awal sebanyak lapan peratus.

Tambahnya, bagaimanapun, Pendapatan faedah bersih (NII) dicatatkan sebanyak RM782.9 juta, berlaku penurunan sebanyak RM240.5 juta atau 23.5 peratus berbanding tempoh kewangan sebelumnya iaitu RM1,023.4 juta disebabkan oleh pemampatan NIM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×