PETALING JAYA: Kemelut politik dalam Malaysia yang berpanjangan memberi persepsi kurang baik kepada pelabur, sekali gus menyebabkan prestasi Bursa menurun, menurut penganalisis ekonomi.
Semalam, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) tidak mengalami perubahan signifikan, hanya turun 0.08 mata kepada 1,512.28 berbanding penutupan Khamis sebanyak 1,512.36 mata.
Indeks barometer dibuka 1.46 mata lebih tinggi pada 1,513.82, dan bergerak antara 1,509.56 dan 1,514.72 sepanjang hari.
Pada keseluruhan pasaran, jumlah saham mendapat keuntungan lebih tinggi iaitu 530 berbanding yang merosot 313, manakala 445 saham kekal tidak berubah, 999 saham tidak didagangkan, dan 11 saham lain dihentikan dagangan.
Mengulas prestasi Bursa itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, keadaan politik yang tidak stabil semestinya akan membuatkan para pelabur berfikir dua kali untuk melabur di dalam negara.
Menurut beliau, negara sendiri akan rugi jika terlepas peluang pelaburan yang besar akibat kemelut politik yang berpanjangan.
“Perbezaan politik itu biasa, namun jika berterusan terlalu lama akan membuatkan segala perancangan ekonomi yang ada terganggu,” katanya ketika dihubungi.
Abu Sofian berpandangan, mempunyai ideologi politik berbeza itu boleh, tetapi parti-parti politik harus bersatu hati dalam memajukan negara.
“Janganlah biarkan rakyat menjadi mangsa akibat perbezaan ideologi politik yang ada,” katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohamad Khair Afham Muhamad Senan berpandangan, isu domestik seperti sentimen politik (dalam kalangan pelabur) memberikan kesan kepada jatuh naik prestasi bursa.
“Apabila kerajaan dan parti pembangkang tidak menyelesaikan masalah dalaman sedia ada, ia secara langsung membuatkan prestasi bursa menurun seperti yang dilihat hari ini,” katanya.
Beliau berkata, kestabilan ekonomi tidak akan pulih selagi politik di sesebuah negara itu masih goyah kerana (pemerintah) terganggu untuk fokus dalam membangunkan negara dan ekonomi.
Menurutnya, parti-parti politik di negara ini boleh sahaja untuk fokus kepada kesejahteraan rakyat dan ekonomi, namun tumpuan terganggu dengan kefahaman masing-masing.
Tambahnya, beliau bersetuju jika perdebatan yang berlaku membawa kepada perbincangan untuk langkah ekonomi yang lebih baik.
“Kesefahaman antara parti di negara ini sangat penting bagi memandu negara ke arah kesejahteraan,” katanya. – UTUSAN










