PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Berhad (Bursa) menyatakan komitmen mempercepatkan tempoh kelulusan bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama dan Pasaran ACE kepada tiga bulan.
SC dalam kenyataan berkata, komitmen tersebut terpakai untuk permohonan IPO baharu yang diterima mulai 1 Mac 2024.
Jelas Suruhanjaya itu, komitmen untuk keputusan segera mengenai kelulusan itu bersandarkan penasihat utama atau penaja memberi jawapan memuaskan dalam tempoh lima hari pasaran bagi pertanyaan dan ulasan pengawal selia terhadap permohonan IPO.
“Pengawal selia akan terus mengekalkan ketegasan dalam penilaian tanpa menjejaskan perlindungan pelabur dan kepentingan awam,” katanya.
Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, pasaran modal ekuiti Malaysia kekal sebagai asas pembiayaan bagi syarikat-syarikat dengan IPO menjana dana sebanyak RM3.6 bilion pada 2023.
“Kami percaya tempoh masa kelulusan ini mampu memenuhi keperluan perniagaan dinamik syarikat yang ingin mengumpul dana dalam pasaran modal.
“Ia sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk kekal relevan dan berdaya saing kepada pelabur tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Katanya, usaha itu menandakan komitmen untuk memupuk persekitaran kondusif bagi syarikat-syarikat, sekali gus memudahkan akses mereka kepada pasaran modal dengan lebih kepastian dan kecekapan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, masa ke pasaran yang lebih kompetitif akan meningkatkan daya tarikan Bursa kepada syarikat yang ingin tersenarai di Malaysia.
Jelasnya, Bursa berhasrat menyediakan kemudahan holistik dan mesra pelanggan untuk memberi sokongan kepada syarikat yang mengumpul modal melalui IPO serta meningkatkan status sebagai syarikat tersenarai awam.
“Pasaran ekuiti bersedia menyokong kitaran pengumpulan dana dan pelaburan bagi mengembangkan perniagaan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA), Lee Jim Leng berkata, ia mengiktiraf kepentingan kerjasama yang lancar antara pengawal selia dan penasihat untuk memastikan proses penyenaraian yang lancar.
“Melalui kerjasama erat, kami boleh mempertahankan piawaian usaha wajar (due diligence), tadbir urus korporat dan pematuhan di tahap tertinggi ke arah memudahkan masa ke pasaran yang lebih pantas untuk penerbit IPO,” ujarnya.
Beliau menambah, ia juga dapat meningkatkan kredibiliti dan ketelusan keseluruhan pasaran modal. – UTUSAN










