PETALING JAYA: UDA Holdings Berhad (UDA) menghulurkan bantuan kepada komuniti Kampung Warna-Warni Seberang Ramai menerusi penganjuran ‘Kayuhan UDA Cares’ Bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Program itu usaha sama UDA dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan sebahagian daripada pengisian Karnival Usahawan dan Jualan Mega MADANI yang berlangsung selama tiga hari di Tapak Pasar Tani Kekal, Simpang Empat, Perlis.
Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd. Salem Kailany berkata, program julung kali diadakan itu merupakan langkah proaktif UDA bersama MAIPs untuk menyantuni komuniti setempat selain mempromosikan gaya hidup sihat.
Menurut Salem, usaha mendekati komuniti setempat itu sejajar dengan penjenamaan UDA iaitu Legasi, Integrasi, Ketelitian dan Memperkasa (LIFE) yang diterapkan dalam setiap rangkaian perniagaannya.
Selain itu, katanya, program kayuhan itu bermula di Dataran Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Kampung Seberang Alor dan berakhir di Dataran Semarak yang melalui Kampung Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis.
“Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis berkenan mencemar duli menyertai kayuhan tersebut diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan (KUSKOP), Datuk Seri Suriani Ahmad, pengurusan kanan UDA, wakil MAIPs dan Team Tayar Golek (TTG),” ujarnya.
Jelasnya, baginda berkenan mencemar duli menyaksikan penyerahan sumbangan zakat UDA berjumlah RM10,000 kepada Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan sumbangan MAIPs Peduli kepada 140 asnaf yang menerima bantuan wang tunai RM700 setiap seorang.
Dalam pada itu, UDA dan MAIPs turut menyampaikan sumbangan zakat tambahan kepada tiga lagi asnaf di mana setiap keluarga menerima RM1,000 daripada UDA dan RM700 berserta barang keperluan daripada MAIPs.
“Baginda juga berkenan mencemar duli merasmikan ‘Lorong UDA’, di mana UDA akan menyalurkan bantuan bertujuan menambah baik dan mencantikkan kawasan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) juga menyerahkan sijil pendaftaran koperasi kepada Koperasi Kariah Masjid Abu Bakar As-Siddiq Seberang Ramai Kuala Perlis Berhad.
Katanya, koperasi itu ditubuhkan bertujuan membangunkan ekonomi umat Islam setempat menerusi aktiviti perniagaan di dalam kawasan masjid seperti jualan runcit dan sewaan tempat letak kereta. – UTUSAN










