PETALING JAYA: Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) akan terus bekerjasama dengan kerajaan, indusri kewangan dan rakan kerjasama berkenana pelan tindakan khusus untuk menyokong peralihan ekonomi yang adil dan teratur.
Ahli JC3 juga mempersetujui tindakan untuk terus memberikan tumpuan pada meningkatkan aliran kewangan bagi peralihan dan penyesuaian iklim serta membina daya tahan terhadap risiko berkaitan iklim.
JC3 dalam kenyataan bersama berkata, terdapat juga usaha untuk menyepadukan pertimbangan yang lebih luas tentang risiko alam semula jadi dan risiko alam sekitar dengan pembangunan strategi iklim institusi kewangan yang sedang dilaksanakan.
Katanya, berasaskan dasar yang diumumkan oleh Kerajaan, JC3 akan berfungsi sebagai platform utama untuk menggalakkan penjajaran sektor kewangan pada haluan peralihan sektoral.
“Bidang tumpuan utama pada tahun ini adalah untuk menyokong pembangunan pelan peralihan yang berkredibiliti oleh industri kewangan. Hal ini termasuk usaha menerbitkan Rangka Kerja Kewangan Peralihan JC3 untuk membimbing pembangunan penyelesaian kewangan peralihan yang diyakini,” katanya dalam kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, ahli JC3 juga menyedari akan keperluan untuk meluaskan lagi perkongsian awam-swasta dan struktur kewangan campuran untuk menggembleng modal.
Ahli JC3 katanya, berbincang dan bersetuju untuk mengusahakan strategi yang berpotensi untuk mencapai matlamat ini, termasuk strategi khusus sektor dan keutamaan data.
Dalam menyokong transformasi sektor benar, ahli JC3 mengambil maklum hasil positif daripada program rintis Penghijauan Rantaian Nilai (Greening Value Chain, GVC) yang dilancarkan setahun lalu.
“Program ini telah membolehkan lebih 330 PKS mula mengukur dan melaporkan pelepasan gas rumah hijau (greenhouse gasses, GHG) mereka. Berikutan perkembangan yang menggalakkan ini, JC3 akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan rakan kerjasama yang berkaitan untuk meningkatkan GVC dalam syarikat berkaitan erajaan (government-linked companies, GLC) dan kalangan syarikat tersenarai awam,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pengerusi Bersama JC3, Datuk Jessica Chew Cheng Lian berkata, memandangkan lebih banyak institusi kewangan telah menetapkan sasaran iklim, sangat penting bagi institusi kewangan untuk membangunkan dan melaksanakan pelan peralihan yang mantap dan diyakini yang sejajar dengan sasaran ini.
Kata beliau, pada peringkat makro, rancangan peralihan pula perlu mencerminkan dan konsisten dengan haluan nasional dan sektoral.
“Hal ini penting untuk memastikan sokongan kewangan untuk aktiviti peralihan dan penyesuaian serta mengurangkan kesan gangguan jangka pendek terhadap ekonomi,” katanya.
Pengarah Urusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3, Datuk Kamarudin Hashim pula berkata, piawaian penzahiran kelestarian kekal sebagai satu lagi tonggak penting untuk JC3.
“Dengan penerbitan perundingan awam oleh Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kemampanan (ACSR) mengenai cadangan penggunaan Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB) di Malaysia, orang ramai digalakkan untuk berkongsi pandangan tentang pendekatan, masa dan pertimbangan kritikal lain serta membantu membentuk rangka kerja untuk Malaysia, sambil kita menilai kebolehpercayaan maklumat yang didedahkan,” katanya. – UTUSAN










