PETALING JAYA: Pengarah Urusan Kumpulan, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim dianugerahkan ‘Professor of Practice Award’ (Pengurusan Strategik) membawa gelaran Profesor oleh Universiti Geomatika Malaysia (UGM) pada Majlis Konvokesyen ke-16 universiti itu semalam.
Penganugerahan itu disampaikan oleh Canselor UGM, Datuk Wira (Dr.) Asmah Abdul Rahman.
Anugerah itu merupakan antara anugerah akademik tertinggi yang dianugerahkan oleh UGM kepada individu tertentu bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan beliau kepada UGM.
Sementara itu, Irmohizam dalam kenyataan memberitahu, beliau amat berbesar hati menerima anugerah tersebut.
“Sebagai Pro-Canselor 1 UGM, pengiktirafan ini mencerminkan dedikasi saya dalam bidang akademik, dan saya akan berusaha untuk menyumbang kepada persekitaran pembelajaran yang bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi juga memupuk pemikiran kritis dan kreatif terhadap kemajuan warga UGM,” katanya.
Sementara itu, UGM berkata, sumbangan Irmohizam dalam dunia korporat melangkaui peringkat nasional, ini dibuktikan oleh peranannya dalam pelbagai organisasi antarabangsa.
“Beliau juga merupakan rakyat Malaysia pertama yang dilantik untuk menganggotai Lembaga Pengarah World Trade Centers Association (WTCA) di New York, Amerika Syarikat,” katanya.
Katanya, komitmen beliau terhadap pembelajaran berterusan telah menjadi teladan dan inspirasi kepada individu lain yang berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang pilihan mereka. – UTUSAN









