Impian Anis bawa Haos Ek? ke Bursa Malaysia

Impian Anis bawa Haos Ek? ke Bursa Malaysia

ANIS Permin dan suaminya, Mohd. Shahrin Jaafar mengusahakan minuman Haos Ek? di kilangnya di Kempas, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUT sahaja nama Haos Ek?, ramai yang mengenali produk minuman tersebut, terutamanya orang Johor.

Manakan tidak, sejak kewujudanya, Haos Ek? telah berjaya menempatkan produknya di hati orang Johor melalui rangkaian pengedaran yang meluas di semua daerah dalam ne­geri ini dan publisiti media yang konsisten, khususnya menerusi Best FM.

Haos Ek? juga bukan sekadar produk, malah adalah minuman berkualiti dengan cita rasa orang Johor menepati taglinenya, ‘Rasa Berhantu Tak Cukup Satu’.

Begitupun banyak rintangan dan cabaran yang diharungi dalam menempuhi liku-liku perniagaan sehinggalah Haos Ek? berada pada suatu tahap yang boleh dibanggakan seperti sekarang.

Ketua Pegawai Eksekutif Adin Marketing Group Sdn. Bhd., Anis Permin selaku pengasas jenama Haos Ek? memberitahu, idea menghasilkan produk minuman tersebut tercetus ketika kerajaan memgumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19.

“Sebenarnya pada asalnya Haos Ek? ini hanyalah survival plan pada waktu PKP. Saya bukanlah daripada bidang makanan dan minuman. Sejak 2007 saya berada dalam bidang reka bentuk, percetakan dan pengiklanan, tetapi apabila.terkesan akibat

Covid-19 dan kerajaan mengumumkan PKP, syarikat kami tidak boleh beroperasi.

“Akibat daripada PKP dan syarikat tidak boleh beroperasi, wang simpanan syarikat hampir habis disebabkan pada masa itu saya ada 45 orang staf dengan perbelanjaan gaji termasuk sewa sebanyak RM120,000 sebulan.

“Jadi, dalam masa setahun, lebih kurang RM1.5 juta simpanan terpaksa dikeluarkan dan aset syarikat terpaksa dicairkan. Tepat setahun PKP pada Mac 2021, saya mengumpulkan staf dan pengurusan untuk kita memikirkan apa yang boleh kita buat sebab tiada tanda-tanda kes akan turun pada waktu itu.

“Semasa PKP, bisnes yang terus naik adalah bidang makanan dan minuman. Macam-macam idea muncul tetapi apabila kita tengok, ada kekuatan dengan produk minuman dan kebetulan saya memiliki sebuah restoran, iaitu Restoran Lubuk Selera di

Taman Pulai Utama dan antara menu yang popular adalah air kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Anis memberitahu, antara produk Haos Ek? yang dihasilkan pada masa ini ialah Kopi Peng, Kopi O, Teh Tarik dan Bandung serta Coklat, manakala resepi asal dikongsi oleh sepupunya, Misram Ali Akhbar dan adiknya, Muhammad Noridzuan Permin yang kini masing-masing menjadi Pengurus Pengeluaran dan Pengurus Pembangunan dan Penyelidikan.

Menurutnya, nama Haos Ek? dipilih kerana mencerminkan identiti lokal dan rakyat Johor pula sangat sinonim dengan perkataan ‘ek’.

ANIS Permin menunjukkan pelbagai perisa minuman Haos Ek?
di kilangnya di Kempas, Johor Bahru.

Ingin mencontohi idolanya, Tan Sri Tony Fernandez dalam memperkenalkan dan menaikkan jenama AirAsia, Anis yang mempunyai sepasang cahaya mata, putera dan puteri yang berusia 16 dan 18 tahun ingin membawa jenama Haos Ek? bukan sahaja dikenali di Johor dan Malaysia, malah ke peringkat antarabangsa, khususnya di rantau ini.

Ditanya tentang aspirasinya untuk Haos Ek?, beliau yang merupakan penerima Anugerah Usahawan Cemerlang TEKUN Peringkat Negeri Johor dan juga Kebangsaan 2023 ingin membawa jenama minuman popular tersebut ke beberapa negara ASEAN dan pada ketika ini ia sudah pun dijual di negara jiran, Singapura.

Malah, menurutnya, hampir tiga tahun dalam pasaran, pihaknya berjaya menjual 6.5 juta botol Haos Ek? setakat ini.

Anis turut mempunyai cita-cita lebih besar, iaitu ingin menjadi usahawan wanita bumiputera pertama di Malaysia yang akan membawa syarikatnya, Haos Ek? tersenarai dalam papan Bursa Malaysia menjelang 2028.

“Saya ingin menjadi inspirasi bagi golongan wanita bahawa kita boleh buat jika tahu teknik dan kaedah yang betul dalam perniagaan. Dalam perjalanan untuk tersenarai di Bursa Saham Malaysia, kita tidak boleh buat seorang diri, kita kena buat bersama-sama, berjemaah.

“Dalam masa saya hendak membawa Haos Ek? naik, saya bawa semua wakil jualan naik, bawa semua pasukan naik dan syarikat industri kecil dan sederhana yang ada di keliling sekali naik,” katanya sambil memberitahu pihaknya kini mempunyai lebih 3,000 lokasi jualan Haos Ek? dan lebih 100 ejen pengedaran di seluruh negara.

Haos Ek? kini menjadi jenama yang semakin popular dan dihormati dalam pasaran tempatan serta dengan komitmen untuk memberikan produk berkualiti tinggi dan perkhidmatan yang terbaik, Haos Ek? dipercayai mampu menarik minat ramai di peringkat antarabangsa.

Dengan strategi pemasaran yang berkesan dan inovasi yang berterusan, Haos Ek? dijangka mampu mempertahankan kedudukannya sebagai jenama yang relevan dan berdaya saing.

Kejayaan Haos Ek? juga diharap akan menjadi inspirasi kepada usahawan tempatan lain untuk terus berusaha menghasilkan produk yang berkualiti serta mampu bersaing dalam pasaran global.

Beliau percaya Haos Ek? mampu bersaing dengan jenama antarabangsa di peringkat global dan menjadi pilihan utama dalam kalangan pengguna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×