Halal: Pelabur minat sarang burung walet 

Halal: Pelabur minat sarang burung walet 

MUHAMMAD Faizulrullah Zulkifle bersama isterinya, Noorul Asyikin Mustaffa menunjukkan produk sarang burung walet keluaran syarikatnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Khasiat sarang burung walet yang tinggi untuk kesihatan, menarik minat Muhammad Faizulrullah Zulkifle, 35, untuk mengusahakan perniagaan itu  bersama isterinya, Noorul Asyikin Mustaffa, 35 di Port Dickson,  Negeri Sembilan.

Mereka menubuhkan syarikat ARMEL Bird Nest setelah syarikatnya memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Januari 2023.

Kemajuan itu turut menarik penyertaan pelabur sekali gus membantu Muhammad Faizulrullah mengukuhkan perniagaan sarang burung walet.

Berkongsi perkembangan perniagaannya, Muhammad Faizulrullah, sebagai pengusaha sarang burung walet, mereka perlu memastikan jaminan kebersihan bagi mengelakkan keraguan dalam kalangan pengguna.

“Cara pemprosesan sarang burung walet juga perlu diyakini bersih dan kami tidak menggunakan sebarang bahan kimia untuk memastikan ia sesuai diminum.

“Air sarang burung walet ini sesuai diminum bermula kanak-kanak hingga dewasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tambahnya, produk burung sarang walet itu bernilai tinggi di dalam setiap botol yang dikeluarkan.

“Harga pasaran yang asli dijual adalah sekitar RM230 hingga RM480 ke atas bagi setiap kotak (enam botol).

“Walau bagaimanapun, kami menjual dengan harga berpatutan pada RM99 sekotak melibatkan enam botol dengn kuantiti 65 mililiter (ml), manakala bagi tiga botol (100ml) dijual dengan harga RM49 sahaja,” katanya.

Sehingga kini, produk burung walet masih lagi mendapat permintaan pasaran tempatan dan telah terjual sehingga 80 peratus berbanding sebelum ini.

“Saya berharap pasaran sarang burung selepas ini dapat berkembang di negara luar kerana kami mula mendapat tempat dalam pasaran muslim,” katanya.

Beliau turut menasihatkan kepada mana-mana usahawan agar mendapatkan pensijilan halal terutama bagi produk makanan dan minuman.

“Ini supaya peniaga mendapat bimbingan dari segi penjagaan kebersihan makanan, dan cara pemprosesan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN