Guna mata wang domestik dalam perdagangan antara negara

Guna mata wang domestik dalam perdagangan antara negara – Pakar

PAKAR mencadangkan Malaysia menggunakan mata wang domestik dengan rakan dagangan berbanding dolar untuk mengatasi kejatuhan nilai ringgit. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia digalakkan untuk menggunakan mata wang domestik dalam perdagangan dua hala berban­ding dolar Amerika Syarikat (AS) yang terus mengukuhkan mata wang utama dunia itu, seterus­nya mendorong penyusutan berterusan ringgit.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Profesor Ekonomi Sunway University, Dr. Yeah Kim Leng berkata, langkah itu juga dapat menghindarkan Malaysia daripada ketidaktentuan dan turun naik dolar AS ketika urusan perdagangan.

“Lebih baik guna mata wang domestik dengan rakan perdagangan kita berbanding dolar AS bagi mengurangkan kesan turun naik dolar AS.

“Jika kita melakukan perdagangan dua hala guna sama ada ringgit atau pun renminbi China. Ini kerana, apabila kita menggunakan dolar AS, akan meningkatkan permintaan kepada mata wang itu dan seterus­nya mendorong kepada pe­ngukuhannya,” katanya di sini, semalam.

Kim Leng berkata, penyusutan ringgit ketika ini disebabkan oleh pengukuhan ekonomi di Amerika Syarikat (AS) dan jangkaan penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) yang lebih lama lagi berbanding unjuran sebelum ini.

Katanya, dolar AS yang lebih tinggi juga menyebabkan harga komoditi yang lebih rendah terutamanya minyak mentah dan memberikan kepada negara ini.

“Bagaimanapun, ringgit ketika ini adalah di bawah nilai. Apabila faktor luaran seperti kadar faedah Fed mula turun, kita akan mula menyaksikan pengukuhan ringgit semula,” ujarnya.

Ketika ditanya sama ada menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dapat membantu mengukuhkan mata wang negara, beliau tidak menolak kemungkinan tersebut.

“Bagaimanapun, OPR perlu di berada pada kadar yang dapat mengawal inflasi dalam negara. Pada masa ini, inflasi dilihat stabil pada 1.5 peratus pada Disember 2023,” ujarnya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kerajaan perlu mempu­nyai strategi yang ampuh untuk mengelakkan kejatuhan nilai ringgit.

Katanya, ringgit bukan sahaja menurun berbanding dolar AS tetapi juga sebahagian besar mata wang negara lain ter­utamanya negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Fili­pina serta negara Eropah dan United Kingdom pada kelmarin.

“Sekiranya tidak ditangani, barangan makanan yang diimport dari luar negara akan terus naik harga, menyebabkan kenaikan kadar inflasi semula. Seterusnya akan memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat. Kos tajaan pelajar luar negara turut meningkat kerana kelemahan ringgit ini.

“Antara strategi kuat kan ringgit, tubuhkan jawatankuasa dari Kementerian Kewa­ngan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk ambil tindakan terhadap kejatuhan ringgit.

“Koordinasi dan kerjasama ini sangat penting untuk membuat tindakan bersama, contoh hasıl eksport negara mesti ditukar kepada ringgit sekurang-kurangnya 80 peratus dari ke­seluruhan,” jelasnya.

Tambahnya, kerajaan boleh membawa pulang pelaburan dari luar negara dan ditukarkan kepada ringgit untuk menguatkan kembali ringgit.

“Mengurangkan import barangan makanan terutamanya dan memberikan insentif harga keluaran tempatan yang lebih murah. Mengurangkan cukai korporat dari 24 peratus untuk menarik pelaburan asing membawa masuk mata wang luar,

“Kerajaan juga boleh memberikan potongan cukai kepada pelaburan domestik kepada pelabur domestik. Menambahkan lagi jumlah perbelanjaan kepada sektor pelancongan yang begitu berkembang supaya lebih ramai pelancong asing melawat dan berbelanja di Malaysia,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN