FGV buka kilang Fract 750 pertama di Pantai Timur

FGV buka kilang Fract 750 pertama di Pantai Timur

MOHAMAD Nizar Najib (lima, kiri) ketika meninjau kilang Fract 750 pertama Pantai Timur yang dibina di Pelabuhan Kuantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pembukaan kilang Fract 750 yang pertama di Pantai Timur oleh FGV Holdings Berhad (FGV) di kawasan Pelabuhan Kuantan di sini di jangka akan membantu mening­katkan pertumbuhan ekonomi bagi negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Mohamad Nizar Najib berkata, dengan pembukaan kilang tersebut, Pahang menjangkakan pertumbuhan ekonomi melebihi 10.6 peratus berbanding tahun lalu.

Katanya, kilang yang menggunakan teknologi Desmet iConFract System dapat menyumbang kepada pembangunan industri negeri menerusi penghasilan produk premium industri hiliran (downstream) baharu berasaskan minyak sawit.

“Fasiliti ini mencerminkan perkembangan strategik FGV untuk memenuhi permintaan pasaran bagi penawaran produk premium seperti High IV Olein (IV60-IV65) dan hard stearin.

“Kilang penapisan baharu ini bukan sahaja membolehkan FGV meneroka bidang baharu dalam produk lemak khusus tetapi turut menyumbang kepada pembangunan industri,” katanya kepada media selepas melancarkan majlis perasmian kilang Fract 750 di FGV Refineries Kuantan Oil Products di Pelabuhan Kuantan di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Kumpulan Bahagian Logistik dan Sokongan, Fakhrunniam Othman.

Katanya lagi, kerajaan nege­ri mengalu-alukan usaha pemain industri untuk menyumbang kepada kemakmuran ekonomi tempatan sekaligus menjadikan Kuantan sebagai hab untuk produk lelemak inovatif dan premium yang berpotensi menarik pelaburan serta peluang perniagaan baharu.

“Kalau dahulu pada mulanya eksport minyak sawit Malaysia adalah dalam bentuk minyak mentah; pada hari ini, FGV sendiri telah menjadi pengeluar minyak sawit terbesar dunia.

“Perkembangan ini menunjukkan bahawa pemain-pemain industri seperti Kumpulan FGV yang terlibat dalam industri ini mempunyai visi dan kebolehan untuk terus memacu ke hadapan,” katanya.

Jelasnya, pembukaan kilang seumpama itu juga dijangka akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan pembangunan skil kepada belia negeri ini.

Fakhrunniam dalam pada itu berkata, FGV Refineries dijangka dapat meningkatkan purata jualan syarikat sebanyak 9 peratus selepas kilang itu beroperasi.

“Kilang baharu ini akan membolehkan Kumpulan FGV untuk mempelbagaikan jenis-jenis produk minyak sawit yang dihasilkan di Pelabuhan Kuantan.

“Dengan produk-produk baharu ini, FGV dapat mengurangkan kadar kebergantungan terhadap Minyak Sawit Mentah (MSM) yang terdedah kepada ketidaktentuan harga pasaran dunia,” ujarnya.

Tambahnya lagi, teknologi Desmet iConFract System yang diguna pakai oleh kilang terbabit juga boleh menyumbang kepada kos pengeluaran yang lebih rendah.

“Justeru, margin keuntungan lebih tinggi, lantas membolehkan produk-produk FGV dijual pada harga yang lebih kompetitif,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×