PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan sederhana sebanyak 3.7 peratus pada 2023 selepas pertumbuhan kukuh 8.7 peratus tahun sebelumnya, berikutan persekitaran luaran yang mencabar.
Bagi suku keempat (S4) 2023, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak tiga peratus berbanding 3.3 peratus pada suku ketiga (S3) dan 2.9 peratus suku kedua (S2).
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan berkata, perkembangan tersebut disebabkan terutamanya oleh perdagangan global yang lebih perlahan, kitaran menurun teknologi global, ketegangan geopolitik dan dasar-dasar monetari yang lebih ketat.
Katanya, di dalam negara, meskipun dengan ketiadaan sokongan dasar yang besar apabila ekonomi mula berkembang pada 2022, kegiatan ekonomi dan keadaan pasaran pekerja yang terus pulih telah menyokong pertumbuhan pada 2023.
“Selain itu, prestasi pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh dimantapkan lagi oleh kedudukan luaran Malaysia yang berdaya tahan.
“Meskipun dengan persekitaran luaran yang mencabar, lebihan akaun semasa bagi 2023 mampan pada 1.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), disokong oleh kepelbagaian struktur eksport merentas pasaran dan produk,” katanya.

BNM berkata, kekukuhan kedudukan luaran juga dicerminkan oleh hutang luar negara yang menurun kepada 68.2 peratus daripada KDNK pada 2023 serta kedudukan pelaburan antarabangsa bersih yang lebih tinggi iaitu 6.6 peratus daripada KDNK.
“Yang penting, hutang luar negara kekal terurus berikutan profil tempoh matang dan mata wang yang menggalakkan.
“Satu pertiga daripada hutang luar negara adalah dalam denominasi ringgit lantas mengehadkan risiko mata wang, sementara kira-kira 70 peratus hutang mempunyai tempoh jangka sederhana dan panjang,” ujarnya.
Mengenai KDNK S4, BNM berkata, perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik dan tekanan kos yang mereda.
“Kadar pengangguran menurun ke paras sebelum pandemik iaitu 3.3 peratus, manakala kadar penyertaan tenaga kerja mencapai paras tertinggi pada tahun 2023.
“Sementara itu, pertumbuhan dalam aktiviti pelaburan disokong oleh pelaksanaan projek jangka masa panjang yang progresif dan pengembangan kapasiti oleh syarikat.
“Walau bagaimanapun, eksport kekal lembap disebabkan kelemahan permintaan luaran yang berpanjangan dalam keadaan import yang lebih kukuh. Dari segi penawaran, terdapat pengembangan yang meluas,” jelasnya.
Dari segi kadar pertumbuhan bulanan KDNK, Disember mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.4 peratus, lebih rendah berbanding November (3.8 peratus) dan Oktober (3.9 peratus).
“Ini disebabkan terutamanya oleh tempoh cuti sekolah yang lebih pendek pada bulan tersebut dan sektor perkilangan berorientasikan eksport yang lebih lemah,” jelasnya. – UTUSAN










