PETALING JAYA: Dasar fiskal dan monetari dijangka akan menjadi pendorong utama pertumbuhan ekonomi negara pada 2024, menurut penganalisis ekonomi.
Ia berikutan terdapat penurunan besar dalam eksport bersih sebanyak 35.6 peratus pada suku keempat 2023 daripada -22.7 peratus pada suku ketiga 2023.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, dasar fiskal mampu mempercepatkan perbelanjaan pembangunan (DE) dan menjadi keperluan strategik serta memastikan ekonomi berkembang dengan lebih mampan.
Oleh itu, beliau menjelaskan, permintaan domestik akan menjadi faktor utama yang memastikan pertumbuhan keseluruhan Malaysia kekal stabil.
“Dalam jangka masa pendek, pelaksanaan projek infrastruktur akan memberi kesan limpahan kepada sektor utama iaitu pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan.
“Bagaimanapun, dalam jangka masa panjang, projek infrastruktur yang telah siap akan membantu negara merealisasikan keuntungan produktiviti sekali gus dapat meningkatkan potensi pertumbuhan ekonomi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau mengulas pengumuman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Suku keempat (S4) 2023 sebanyak 3.0 peratus, iaitu lebih rendah berbanding suku sebelumnya sebanyak 3.3 peratus.
Menurut kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM), untuk tahun 2023, negara mencatatkan KDNK sebanyak 3.7 peratus juga lebih rendah berbanding 2022 sebanyak 8.7 peratus.
Pencapaian itu lebih rendah berbanding unjuran pakar-pakar ekonomi antara 3.4 hingga 3.6 peratus untuk S4 dan sekitar 3.8 untuk sepanjang tahun 2023.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains İslam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata, pertumbuhan KDNK yang sederhana disebabkan kelemahan ringgit yang masih berterusan berbanding mata wang utama dunia khususnya dolar Amerika Syarikat (AS) dan kemerosotan sektor pembuatan.
Beliau berkata, kelemahan ringgit akan menjadikan harga barangan import lebih mahal dan sebaliknya, barangan dieksport menjadi murah.
“Selain itu, kejatuhan nilai eksport dan import negara turut menyumbang kepada pencapaian KDNK suku keempat 2023,” jelas beliau.
Jelas beliau lagi, faktor geopolitik seperti peperangan di Asia Barat yang berterusan turut mempengaruhi iklim ekonomi global yang akhirnya mempengaruhi ekonomi Malaysia.
“Walaupun peperangan itu tidak melibatkan rakan dagangan utama Malaysia iaitu AS, China dan Singapura namun, secara tidak langsung negara-negara terbabit turut terkesan.
“Dan, perkembangan itu mempengaruhi iklim permintaan dan penawaran barangan serta perkhidmatan dalam negara. Ia juga kemungkinan mempengaruhi keyakinan pelabur asing terhadap negara,” katanya.-UTUSAN










