KUALA LUMPUR: Columbia Asia Hospital mengembangkan rangkaian hospitalnya dengan membuka fasiliti baharu di Pulau Pinang serta menambah bilangan katil di hospitalnya di Cheras, Klang, Seremban dan Iskandar Puteri dengan pelaburan kira-kira RM1 bilion.
Pelaburan untuk tiga tahun akan datang tersebut termasuk untuk hospital baharu dilancarkan di Bukit Jalil.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Columbia Asia, Dr. Chan Boon Kheng berkata, pihaknya dijangka membuka hospital dengan 200 katil di Batu Kawan, Pulau Pinang pada suku pertama tahun depan.
Katanya, pembukaan tersebut tepat pada masanya untuk menyokong populasi yang berkembang pesat di perbandaran baharu ini.
“Kami juga sedang mengembangkan hospital kami di Cheras dan Klang, daripada format sekunder dengan 60 hingga 80 katil kepada model penjagaan komprehensif dengan 150 hingga 200 katil. Ini juga dijangka siap awal tahun depan.
“Selain itu, hospital Iskandar Puteri dan Seremban kami juga akan melalui pembesaran yang akan menghasilkan model penjagaan tertiari yang komprehensif dengan 300 hingga 400 katil yang dijangka siap dalam masa tiga tahun.
“Semasa kami meneruskan pengembangan kami, kami juga mengubah kemudahan kami daripada hospital komuniti yang lebih kecil kepada hospital serantau format yang lebih komprehensif,” katanya pada majlis pelancaran Columbia Asia Hospital – Bukit Jalil di sini hari ini.
Beliau berkata, selain berkembang dari segi saiz dan kapasiti, pihaknya juga memberi tumpuan untuk mengembangkan keupayaan.
Ketika ditanya sama ada pengambilalihan Ramsay Sime Darby Health Care Sdn. Bhd. pada harga yang terlebih tinggi, beliau berkata, harga tersebut adalah adil dan tidak terlebih tinggi kerana syarikat itu mempunyai fasiliti yang baik.
Mengulas mengenai kerisauan inflasi harga perubatan, beliau berkata, secara umum pihaknya merasai peningkatan harga tersebut termasuk dari segi gaji jururawat yang meningkat terutamanya selepas Covid-19.
“Gaji jururawat telah meningkat. Saya rasa, kami juga menyokong kenaikan gaji yang selari dengan pasaran.
“Terdapat juga peningkatan kos dalam kos import, faktor input, kos bahan, kos ubat dan kos peralatan yang telah diimport,” ujarnya.
Namun begitu, beliau berkata, harga rawatan masih lagi kompetitif dan rendah berbanding negara serantau seperti Singapura, Bangkok dan bandar-bandar utama di Indonesia. – UTUSAN









