CelcomDigi, MPAJ jalin kerjasama

CelcomDigi, MPAJ jalin kerjasama

DR. ANI Ahmad (dua, kiri) dan Idham Nawawi (dua, kanan) menunjukkan dokumen yang telah ditandatangani disaksikan oleh Amirudin Shari (tengah) pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan CelgomDigi Berhad di Pusat Kovensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Ampang, semalam. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk pembangunan digital di DUN Hulu Kelang bagi proses transformasi kepada sebuah bandar pintar.

Menerusi kerjasama selama 10 tahun itu, kedua-dua pihak akan berkolaborasi untuk meneroka dan melaksanakan penyelesaian teknologi 5G dan infrastruktur gentian yang mantap.

Ia bagi membina ekosistem bandar pintar yang akan mempertingkatkan kualiti hidup penduduk dan pertumbuhan perniagaan di Hulu Kelang.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerjasama tersebut membuktikan kesungguhan MPAJ membina sebuah bandar pintar, selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mentransformasikan Selangor kepada negeri pintar menjelang 2025.

“Besar harapan saya agar segala usaha di bawah inisiatif Bandar Pintar akan menjana impak positif terhadap ekosistem secara inklusif bukan sahaja untuk masyarakat, tetapi juga ekonomi dan alam sekitar.” katanya pada majlis menandatangani perjanjian tersebut di sini semalam.

Majlis menandatangani MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi dan Pengerusi MPAJ, Dr. Ani Ahmad.

Sementara itu, Idham berkata, kerjasama dengan MPAJ adalah pakatan strategik yang dibina dengan visi bersama untuk membina infrastruktur bandar pintar dan model ekosistem yang boleh direalisasikan.

Katanya, CelcomDigi dan MPAJ akan bekerjasama untuk menilai dan mengenal pasti penyelesaian bandar pintar yang terbaik dan mampu mengubah DUN Hulu Kelang menjadi daerah digital bersepadu, lengkap dengan persekitaran moden dan mampan.

“Kerjasama ini memberi peluang mencari penyelesaian sesuai untuk mewujudkan ekosistem bandar pintar kondusif dan inklusif serta mampu meningkatkan kualiti hidup penduduk dan komuniti yang selamat.

“Kita ingin memajukan dan menginspirasikan masyarakat dan bertekad menghubungkan setiap rakyat malaysia dengan teknologi inovasi yang mampu memudahkan urusan serta dapat meningkatkan kualiti kehidupan rakyat malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata, syarikat bertekad untuk memanfaatkan usahasama itu dengan perkongsian teknologi tempatan dan global dalam membangunkan ekosistem yang diharapkan boleh menjadi model yang membawa manfaat kepada rakan kongsi lain.

“Ini seperti majlis perbandaran dengan rangkaian penyelesaian bandar pintar yang boleh digunapakai di lebih banyak bandar di seluruh negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×