Arkitek vs kecerdasan buatan?

Arkitek vs kecerdasan buatan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANA yang menjadi pilihan? Seorang arkitek atau penggunaan gajet dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk melakar sebuah bangunan?

Jika dahulu, arkitek memainkan peranan penuh bagi melakar sesebuah bangunan di atas sekeping kertas, namun kini dengan kehadiran teknologi terutama kepintaran buatan (AI), tugas itu boleh beralih.

Namun, mampukah AI mengam­bil alih peranan seorang arkitek?

Sejauh mana AI mampu menggalas fungsi sebenar seorang arkitek? Atau mungkinkah seorang arkitek mampu memanipu­lasi AI bagi meningkatkan tahap kecekapan mereka bagi meme­nuhi kemahuan pelanggan?

Berkongsi persoalan itu, Pe­ngarah VERITAS Design Group, Ar. Azril Amir Jaafar mengakui kini kerjaya arkitek sangat kritikal kerana golongan profesional itu tidak dapat dinafikan berkemungkinan pupus pada masa hadapan.

Ia kemungkinan kerjaya profesional itu sedang mengalami perubahan drastik apabila AI dikatakan mula mengambil alih fungsi mereka misalnya dalam mereka bentuk dan mengawal selia projek pembangunan hartanah.

Perkara yang membimbangkan pemain industri ialah transformasi teknologi AI dipercayai berupaya ‘memonopoli sepenuhnya’ kerjaya tersebut. Mungkinkah?

AZRIL AMIR JAAFAR

Mengakui ‘ancaman’ itu wujud, Azril Amir bagaimanapun menjelaskan, transisi sedemikian tidaklah semudah digambarkan.

Ini kerana, elemen nilai seni dan kemanusiaan yang diberikan oleh seorang arkitek, tidak boleh diganti oleh teknologi termasuk AI.

AI tidak mampu bahkan mustahil dapat menterjemahkan ele­men kemanusiaan, emosi, intuitif, budaya, cara hidup dan struktur kemasyarakatan yang dinamik di dalam sesuatu rekaan.

“Malah, arkitek juga me­nyum­bang dari segi penilaian profesional, seni asli dan kreatif asli khusus untuk sesuatu bangunan yang direka.

“Justeru itu, kemampuan berfikir secara kreatif yang datang dari akal fikiran manusia sukar diganti. Soal kebertanggungjawaban, keselamatan dan liabiliti sesuatu rekaan itu hanya boleh dilaksanakan oleh seorang arkitek profesional,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Azril Amir turut mengakui profesion arkitek antara pekerjaan tertua di dunia mendorong kerjaya ia kekal relevan dan mampu bertahan pada masa depan.

“Walau bagaimanapun, arkitek perlu berubah dengan (mengadaptasi) teknologi untuk memastikan profesion ini kekal relevan. Ini kerana, arkitek turut berperanan dalam mengetuai pasukan perunding lain dalam memastikan bangunan yang dibina mematuhi keperluan undang-undang,” katanya.

ADRIANTA AZIZ

Bagi arkitek profesional, Prof. Ar. Adrianta Aziz pula, kehadiran teknologi seperti AI telah mempengaruhi dunia seni bina dan peranan seorang arkitek.

“Peranan teknologi AI amat penting dalam mencipta solusi kreatif dan ergonomik untuk keperluan manusia serta memahami impak ke atas persekitaran alam semula jadi,” katanya.

Adrianta berpandangan, seorang arkitek profesional adalah individu yang turut berkeupayaan mengadaptasi dan memanipulasi teknologi bagi memenuhi keperluan sosial, budaya, dan alam sekitar untuk kekal relevan.

“Walaupun AI dapat membantu dalam menganalisis data dan membuat ramalan, bakat seorang arkitek tetap tidak dapat digantikan,” katanya.

Malah, menurut beliau, arkitek berkeupayaan untuk memahani keperluan manusia yang unik dan kompleks dalam melahirkan rekaan-rekaan yang dinamik.

“Kami (arkitek) dapat menggabungkan elemen-elemen seni dan estetika dalam rekaan, menghasilkan rekaan yang tidak hanya cantik tetapi juga praktikal dengan kehidupan.

“Walaupun AI boleh membantu dalam tugas-tugas analitikal dan pengiraan, ia tidak mampu menandingi keupayaan untuk mencipta konsep kreatif yang unik dan sensitif terhadap keperluan manusia.

“Justeru, peranan arkitek tetap penting dalam memastikan bahawa reka bentuk bangunan menyumbang kepada kesejahteraan dan ke­selesaan manusia serta keindahan persekitaran binaan,” katanya.

Di sisi lain kata beliau, reka bentuk adalah tentang prinsip iaitu peraturan dalam menghasilkan produk yang berfungsi dengan baik.

“Selain itu, ia boleh me­nerapkan pengetahuan yang terstruktur, matematik, dan pemikiran logik untuk mencapai tujuan yang ditetapkan, seperti kecekapan, keboleh­gunaan dan kebolehperca­ya­an.

“Saya percaya, walaupun kedua-dua aspek ini boleh berinteraksi dan bertindak balas antara satu sama lain, seni dan reka bentuk adalah sentuhan kreativiti seorang arkitek yang tidak mungkin ada pada AI,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN