Alibaba, UM tingkat kecekapan digital Malaysia

Alibaba, UM tingkat kecekapan digital Malaysia

SEAN Yuan (kanan) dan Dr. Kaharudin Dimyati bertukar dokumen kerjasama di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Alibaba Cloud memeterai Memorandum Per­sefahaman (MoU) dengan Universiti Malaya (UM) untuk memperkenalkan kurikulum termaju dalam pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI) bagi mahasiswa dan pendidik menerusi Program Pemerkasaan Akademik Alibaba Cloud (AAEP) .

Kedua-dua pihak turut me­lancarkan Program Latihan Amali Alibaba Cloud dan Pusat Kemahiran Akademi Alibaba Cloud di UM.

Pengurus Besar Rantau Indonesia dan Malaysia, Alibaba Cloud Intelligence, Sean Yuan berkata, kerjasama itu memberi peluang mahasiswa dan pendidik di UM mendalami pemahaman berke­naan teknologi awan menerusi penglibatan dalam bengkel-bengkel teknologi termaju, sesi latihan komprehensif serta pelbagai kursus pensijilan ditawarkan di bawah program AAEP.

Beliau berkata, Alibaba Cloud turut melancarkan program latihan amali Future Star (Bintang Masa Depan) di Malaysia dengan UM menjadi universiti perintisnya dan memastikan pelatih bersedia untuk menghadapi era digital dan menyumbang terhadap industri pengkomputeran awan.

“Program ini menyediakan satu platform dinamik bagi pembangunan bakat, menyediakan pelatih dengan gabu­ngan unik latihan yang lengkap, pe­ngalaman dunia sebenar dan pementoran eksklusif selama tiga hingga enam bulan,” ujar­nya semasa Majlis MoU Alibaba Cloud dengan UM, semalam.

Menurut Sean, usaha itu seiring komitmen dan pelaburan Alibaba Cloud dalam memupuk bakat-bakat digital di Malaysia.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UM, Professor Ir. Dr. Kaharudin Dimyati berkata, integrasi AAEP dalam kurikulum pengajaran merupakan bukti komitmen mereka.

Katanya, ia akan memperkukuhkan program-program sedia ada dan menyumbang terhadap perkembangan graduan dan profesional yang dijangka akan memimpin pertumbuhan digital dalam bidang masing-masing.

Beliau menambah, program AAEP akan menyediakan pelajar UM akses terhadap sumber pengkomputeran awan dan e-pembelajaran Alibaba Cloud Academy menerusi siri penganjuran seminar, kuliah tetamu istimewa dan bengkel-bengkel interaktif.

“Mereka boleh mengakses lebih 300 kursus pensijilan dalam dan luar talian, 16 pensijilan profesional dan 250 makmal praktikal dalam talian bersama lebih 300 rakan sekutu Akademi Alibaba Cloud di seluruh dunia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×