KEHADIRAN teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) berupaya meningkatkan kecekapan dan kreativiti seorang arkitek, namun tidak mampu mengambil alih peranan mereka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Ar. Abu Zarim Abu Bakar berkata, kerjaya profesional itu kini ke arah transformasi mengikut peredaran teknologi semasa.
“Kehadiran AI dilihat sebagai alat bagi menyokong arkitek mempercepatkan tugasan. Jika sebelum ini menggunakan tangan sepenuhnya, namun transformasi membantu mempercepatkan tugasan itu.
“Misalnya jika sebelum ini arkitek mengambil tempoh dua bulan untuk menyiapkan, dengan adanya AI ia lebih mudah dan cepat,” katanya baru-baru ini.
Sehingga kini, terdapat 2,546 arkitek profesional bernaung di bawah PAM.
Jelas beliau, profesionalisme arkitek terletak pada peranan mereka dalam mengetuai sesuatu proses binaan.
“Mereka (arkitek) yang berperanan mengetuai pembinaan tersebut, apa yang diperoleh daripada pelanggan akan diadaptasi kepada seni bina.
“Justeru, saya melihat kerjaya ini masih relevan ketika profesion lain turut mengalami evolusi disebabkan peredaran teknologi,” katanya.

Bagi memastikan arkitek kekal relevan, Abu Zarim berpandangan, pemain industri perlu mengikut perkembangan teknologi.
Dalam konteks ini katanya, PAM turut mengetengahkan ahli-ahli dengan ilmu-ilmu senibina terkini.
“Ahli PAM juga terlibat menjadi panel lebih kurang 10 universiti bagi memastikan pelajar seni bina akan kekal relevan.
“Kami bukan hanya mengadakan kerjasama sesama arkitek, namun, turut melibatkan kontraktor, jurutera, konsultan mahupun pemaju,” katanya.
Menurut Abu Zarim, PAM sehingga kini berjaya melaksanakan lebih 200 program melibatkan pelbagai pihak.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MK Land Holdings Berhad, Ahmad Soalahuddin Al-Thani Ahmad Termizi berpendapat, arkitek harus lebih inovatif dalam menerajui kemajuan teknologi AI dan tidak melihat ia sebagai ancaman kepada kerjaya tersebut.
Katanya. arkitek perumahan khususnya perlu menggunakan AI bagi mendapatkan kepelbagaian reka bentuk yang menjurus kepada kecekapan tenaga.
Misalnya, berkaitan reka bentuk, orientasi bangunan, bahan binaan dan lain-lain.
Bagi beliau, kerjaya arkitek dilihat masih relevan dan penting dalam sektor hartanah.
“Bagaimanapun, arkitek perlu terus inovatif bagi memenuhi keperluan dan pilihan pengguna.
“Selain itu, arkitek perlu menyokong pemaju yang mempunyai matlamat dan komitmen ke arah tanggungjawab Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan mencapai sifar bersih menjelang 2050,” katanya.
Jelas beliau, di MK Land Holding, arkitek juga bekerjasama dengan pemaju perumahan dalam melaksanakan projek yang kos efektif, namun tetap menawarkan keselesaan dan kondusif.
“Ini kerana, kami (MK Land) turut mementingkan reka bentuk bangunan yang memerlukan kurang penyelenggaraan tetapi tetap mesra pengguna,” katanya.- UTUSAN










