UPMH sasar syarikat tersenarai dalam 5 tahun

UPMH sasar syarikat tersenarai dalam 5 tahun

SHAHRULNIZAM MD SHARIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

UPM Holdings Sdn. Bhd. (UPMH) pada penubuhan awalnya berfungsi sebagai Unit Perundingan untuk Universiti Putra Malaysia (UPM).

Selepas melalui proses naik taraf, UPMH kini berperanan penting sebagai cabang perniagaan yang mampu menjana pendapatan kepada UPM.

“Visi UPMH menyasarkan untuk menjadi Syarikat milik Universiti Awam yang terbaik (di Malaysia) dan terunggul di antarabangsa,” kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UPMH, SHAHRULNIZAM MD SHARIF kepada Utusan Malaysia dalam temubual melalui e-mel, baru-baru ini.

Beliau turut berkongsi cabaran yang dihadapi sepanjang penubuhan UPMH bermula 1980 dan bakal ditempuh untuk mencapai visi berkenaan.

Ia termasuk harapan untuk UPMH menjadi syarikat tersenarai dalam tempoh lima tahun akan datang.

UTUSAN: Boleh kongsikan sejarah penubuhan UPM Holdings. Apakah matlamat utama penubuhannya.?

SHAHRULNIZAM MD SHARIF: UPM Holdings Sdn. Bhd. bermula pada tahun 1980 di mana kami adalah Unit Perundingan untuk Universiti Putra Malaysia (UPM). Seiring dengan perkembangan perniagaan, Unit Perundingan dinaiktaraf menjadi Pusat Perniagaan Universiti (“UBC”) pada tahun 1996 dan menjelang tahun 2009, UPM Holdings Sdn. Bhd. telah diperbadankan mengikut Akta Syarikat.

Kini, sebagai cabang perniagaan Universiti, UPM Holdings (UPMH) memfokuskan kepada dua (2) kluster perniagaan utama iaitu berasaskan Pengetahuan (Pendidikan, Latihan dan Perundingan) dan berasaskan Pengurusan Aset (Lapangan Golf 18 Lubang, Penginapan dan Kafeteria).

Misi UPMH adalah untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan produk berkualiti yang relevan dengan industri juga memfokuskan perniagaan berkaitan lapangan khusus Universiti untuk menyumbang kepada penjanaan pendapatan dan nilai tambah berimpak tinggi kepada Universiti Putra Malaysia.

Visi UPMH menyasarkan untuk menjadi Syarikat milik Universiti Awam yang terbaik (di Malaysia) dan terunggul di antarabangsa.

 

Cabaran yang dihadapi sepanjang penubuhan?

Penubuhan syarikat milik penuh universiti mempunyai beberapa cabaran yang unik dan berkaitan dengan konteks akademik serta perniagaan yang mana UPMH turut tidak terkecuali dalam menghadapi cabaran ini. Antaranya adalah perubahan polisi dalam pengendalian perniagaan.

Secara amnya, cabaran sepanjang tempoh penubuhan adalah:

  1. Integrasi Akademik dan Perniagaan di Peringkat Universiti & Holdings:

Menyatukan budaya akademik dengan keperluan dan matlamat perniagaan adalah satu cabaran utama. Peratusan Kejayaan Syarikat Holdings universiti bergantung pada kebolehan untuk menggabungkan keperluan akademik semasa dan komitmen terhadap pengetahuan dengan strategi perniagaan yang berorientasikan keuntungan.

  1. Proses Perolehan Kelulusan yang Kompleks bagi Pengambilan Keputusan untuk sesuatu cadangan projek:

Pengambilan keputusan yang kompleks dan mencabar kerana perlu mengambil kira kepentingan daripada pelbagai pihak, termasuk pihak fakulti, pentadbiran universiti, dan Lembaga Pengarah Universiti, Lembaga Pengarah Anak Syarikat serta Holdings. Secara tidak langsung, proses ini mengambil waktu yang agak lama kerana keperluan dalam memenuhi pelbagai jenis peringkat kelulusan.

  1. Penjanaan Dana:

Mencari sumber kewangan untuk memulakan dan menyokong operasi syarikat holdings adalah cabaran. Pada peringkat awal, syarikat tersebut mungkin memerlukan pelaburan besar untuk membangunkan projek-projek atau memperoleh teknologi yang diperlukan.

  1. Hubungan Industri dan R&D:

Memastikan hubungan yang kukuh antara syarikat holdings dan industri adalah penting. Tumpuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu seiring dengan keperluan dan jangkaan industri bagi memastikan kejayaan dalam pasaran.

  1. Peraturan dan Kepatuhan:

Mengendalikan dengan berkesan peraturan dan kepatuhan yang berkaitan dengan bidang pendidikan dan perniagaan adalah penting untuk mengelakkan masalah undang-undang dan reputasi.

  1. Pemasaran dan Pembiayaan:

Menarik pelanggan, pelabur, dan rakan kongsi perniagaan adalah cabaran. Pemasaran dan pembiayaan perlu diurus dengan cermat untuk memastikan kestabilan dan pertumbuhan syarikat holdings.

 

Apakah perniagaan-perniagaan yang dijalankan oleh UPM Holdings?

UPM Holdings terbahagi kepada enam (6) anak syarikat yang menjalankan fungsi-fungsi perniagaan yang tersendiri iaitu:

  1. UPM Education & Training Sdn. Bhd. (UPMET)

Unit Akademik:  menawarkan program Program Pendidikan Terbuka & Jarak Jauh (ODL) UPM bagi peringkat Diploma sehingga Master dan  Program Kerjasama UPM – IPTS (UPM Franchise College) antaranya Kolej Teknologi Timur, Kolej Uniti, Kolej Widad & Cybernetics International Technology College (KTAC).

Unit Latihan: menawarkan program latihan bertauliah dan latihan tidak bertauliah kepada pelanggan. Pelanggan kami termasuk sektor kerajaan dan swasta termasuk pelanggan Antarabangsa. Antara senarai program latihan yang disediakan adalah: Latihan Berterusan

  • Postgraduate Intensive English (PIE)
  • Certified Intensive English Program (CIEP)
  • Mobility Programme
  • International Recruitment Agent
  • Halal Executive Course
  • Certified Digital E-Learning Program (CDELP)
  • Technical and Vocational Education and Training (TVET) – Operasi Selam Skuba

Latihan Secara One-Off,

  • Good Manufacturing Practice (GMP) Training
  • Diploma In Halal Industry Compliance (DHC)
  • Hazard Analysis And Critical Control Points (HACCP01) : A Guide To Implementation
  • Agriculture, Aquaculture, Animal Production
  • Entrepreneurship
  • Tourism and Hospitality
  • Beauty, Sewing, Culinary
  • Administrative
  • Business Management
  1. UPM Consultancy & Services Sdn. Bhd. (UPMCS)

Putra Consultancy: Perundingan

Diibaratkan sebagai jambatan yang menghubungkan Universiti dan organisasi luar, dimana kami bertanggungjawab untuk pengurusan dan penyelarasan kepakaran dan perkhidmatan penyelidikan profesional yang terdapat di Universiti. Antara empat (4) bidang utama yang difokuskan adalah :

  • Kajian Pertanian, Perhutanan, Alam Sekitar dan Teknologi Makanan
  • Pengurusan Perniagaan Dan Sains Sosial
  • Sains Perubatan & Bioteknologi
  • Sains Gunaan, Kejuruteraan & Teknologi

UPM Consultancy & Services turut menguruskan penyewaan aset tanah bagi aktiviti perniagaan akuakultur di Semenyih dan penanaman sayur secara hidroponik di Genting Highland.

Cabang perniagaan juga diluaskan dengan penglibatan secara kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor bagi projek nurseri hutan di Hutan Simpan Ayer Hitam (HSAH), Puchong ataupun juga dikenali sebagai Sultan Idris Shah Forestry Education Center (SISFEC).

  1. UPM Business & Management Sdn. Bhd. (UPMBM)

Kelab Golf Uniputra merupakan cabang perniagaan UPM Business & Management yang menjalankan perniagaan berdasarkan sukan golf di atas tanah dengan keluasan 197 ekar dengan menyediakan 18 lubang. Kelab Golf Uniputra ini turut menyediakan kemudahan seperti lapang sasar, green latihan, jurulatih golf professional, kafetaria, rumah kelab, surau, dewan atau bilik mesyuarat dan juga bilik persalinan.

Kelab Golf Uniputra telah mempelbagaikan pakej harga yang dapat menarik pemain golf dari setiap peringkat umur dalam dan luar negara, menjalinkan hubungan kerjasama dengan agensi persukanan golf dalam dan luar negara, memperkenalkan dan mempromosi ahli tahunan, mengendalikan perkhidmatan pembelajaran sukan golf serta menyediakan kemudahan kedai peralatan golf (Pro Shop).

  1. UPM International Sdn. Bhd. (UPMI)

UPM International mempunyai satu cabang perniagaan utama iaitu bertindak sebagai penyedia kemudahan penginapan bagi komuniti universiti dan sekitarnya melalui KMR OnePUTRA Residence. KMR OnePUTRA Residence menyediakan kemudahan penginapan dengan kadar sewaan bulanan dan juga harian berdasarkan pelbagai jenis penginapan seperti bilik studio, apartmen jenis 1 bilik dan 2 bilik. Segmentasi pasaran tertumpu kepada pelajar Malaysia, antarabangsa dan juga agensi luar.

Antara kemudahan lain yang turut disediakan adalah perkhidmatan kafe, dobi yang beroperasi 24 jam, surau, kemudahan tempat letak kereta, wifi di cafeteria secara percuma dan lain-lain.

Selain itu, UPM International turut menyediakan ruang sewaan bagi digital billboard  kepada agensi luar untuk tujuan promosi dan pemasaran.

  1. UPM Innovations Sdn. Bhd. (UPMINNO)

UPM Innovations memfokuskan kepada pengkomersilan IP teknologi untuk dibangunkan seperti BAV (vaksin) serta menyediakan perkhidmatan e-ticketing bagi tempahan kereta sewa, hotel serta tiket penerbangan.

UPM Innovations turut menguruskan hartanah dan perkhidmatan bagi pemilik dan penyewa daripada aset tanah di Puchong bagi pembinaan Solar Farm.

  1. Satiri Sdn. Bhd. (SATIRI)

Satiri merupakan syarikat yang menyediakan produk rumput turf untuk tujuan komersial dan juga padang sukan yang bersesuaian seperti padang bola, golf, polo dan trek. Syarikat ini juga mempelbagaikan aktiviti perniagaan seperti perundingan, ujian agronomik, pembinaan dan kursus penyelenggaraan bagi jenis rumput yang pelbagai.

Satiri merupakan syarikat rumput di Malaysia yang menyediakan produk rumput yang diperakui keasliannya. Rumput yang dipasarkan merupakan hasil penyelidikan dan pembangunan dengan kerjasama Fakulti Pertanian UPM.  Produk rumput yang ditawarkan adalah :

  • Cow Grass (Axonopus compressus)
  • Manila Grass (Zoysia matrella)
  • Bermuda GLP (Cynodon dactylon)

 

Pencapaian setakat ini, boleh kongsikan?

UPM Consultancy & Services Sdn. Bhd. (UPMCS)

  • Salah satu pencapaian UPM Holdings adalah menerusi anak syarikatnya iaitu, UPM Consultancy and Services Sdn. Bhd. telah dinobatkan sebagai pemenang Perak, Anugerah Impak Positif ESG bagi kategori Alam Sekitar; Ekosistem Mampan, pada majlis anjuran Star Media Group dan OCBC Bank pada 9 Jun 2023 lepas bagi mengiktiraf syarikat-syarikat di Malaysia yang mengamalkan dan mempamerkan amalan Environmental, Social & Governance (ESG) sebagai teladan dalam model perniagaan.
  • Dengan pengiktirafan yang diberikan kepada UPM Consultancy and Services Sdn. Bhd., telah membuktikan komitmen pengurusan dalam mengangkat ESG sebagai agenda penting syarikat dalam operasi dan perniagaan syarikat yang memfokuskan bidang kepakaran Alam Sekitar bagi menyediakan ekosistem yang mampan. UPM Consultancy & Services Sdn Bhd telah membantu dalam memastikan hutan diurus secara profesional dengan matlamat akhir untuk meningkatkan kesedaran awam tentang pemuliharaan hutan.

UPM International (UPMI)

KMR OnePUTRA Residence berjaya mencapai 90% keatas bagi peratusan kepadatan penghuni untuk kemudahan penginapan yang disediakan. KMR OnePUTRA Residence sentiasa mendapat permintaan daripada pelajar antarabangsa terutamanya dari China dan Asia Barat.

UPMI akan melebarkan sayapnya dalam penyediaan kemudahan penginapan berbentuk kabin atau kontena bagi memenuhi keperluan pelajar UPM seramai 500 orang. UPMI akan membangunkan satu perkampungan pelajar (“student village”) dengan berinspirasikan pengantarabangsaan sebagai proses menyatupadukan dimensi antarabangsa, antara budaya dan dimensi global ke dalam bentuk perkhidmatan kediaman dan pendidikan sesebuah institusi.

 

Adakah tuan berpuas hati dengan pencapaian UPMH setakat ini terutama melihat kepada jumlah dividen yang diberikan dalam tempoh hampir 20 tahun penubuhan UPMH?

Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima dividen terkumpul sebanyak RM 11.7 juta yang telah dibayar oleh UPM Holdings Sdn. Bhd. sejak ditubuhkan pada Mei 2004.

Pihak UPMH berusaha untuk meningkatkan lagi kadar dividen untuk diberikan kepada UPM bagi tahun 2023 dan seterusnya dengan berpaksikan dua teras strategik iaitu mengukuhkan perniagaan utama dan mengembangkan potensi pasaran baharu.

Sasaran pada tahun 2028 adalah mencapai RM150 juta pendapatan melalui :

.         Pelopor perniagaan prospek khusus (‘niche area’)

  • Kedudukan kewangan yang kukuh
  • Pembangunan prospek yang mampan
  • Barisan pengurusan dan pengarah yang berpengalaman
  • Tadbir urus korporat yang baik, dan pematuhan
  • Pengantarabangsaan (“internationalization”)

 

Perluasan perniagaan yang dirancang di dalam dan mungkin juga di luar negara? Bersedia untuk ke peringkat global?

Benar, UPMH turut mempunyai perancangan untuk meneroka pasaran dalam dan juga luar negara. UPMH berminat untuk menjadikan pasaran global sebagai landasan untuk mengembangkan sayap bagi memasarkan produk dan servis tempatan.

Dengan kepakaran dalam perkhidmatan servis dan konsultasi, UPMH percaya bahawa anak syarikat kami, UPM Consultancy & Services dapat meningkatkan profil perkhidmatan ke tahap global dengan mempromosikan kepakaran sedia ada sebagai penyedia perkhidmatan di UPM untuk projek antarabangsa.

Kerjasama dengan wakil antarabangsa boleh diperolehi dengan menyediakan cadangan kebolehpasaran projek tempatan untuk peluang atau projek perniagaan di pasaran antarabangsa. Dengan kerjasama ini, tumpuan diberikan kepada projek berasaskan pembangunan negara bangsa (“nation building”) dengan tertumpu kepada perlembagaan dan projek kebudayaan.

Di samping itu, bidang perniagaan utama UPM Education & Training sebagai perantara bagi perkhidmatan sektor pendidikan awam untuk pendidikan jarak jauh akan dikembangkan lagi dengan idea pengantarabangsaan (“internationalization”) dalam bidang pendidikan.

Kami percaya bahawa dengan langkah progresif dapat memacu anak syarikat UPMH ini kearah persekitaran global yang lebih baik untuk kemajuan ekonomi syarikat. Pada masa yang sama, dapat memperkasakan pelajar, kakitangan dan juga institusi dengan penswastaan dan pengantarabangsaan.

 

SHAHRULNIZAM MD SHARIF

Apakah bidang-bidang perniagaan baharu yang mahu diceburi?

UPMH berminat untuk mempelopori bidang baharu yang berpotensi sebagai produk atau servis utama bagi UPMH ke pasaran tempatan atau luar negara, antara bidang yang dipilih adalah:

  • Veterinar : penjagaan kesihatan dan surgeri haiwan
  • Perhutanan : penanaman pokok hutan, nurseri hutan, dan carbon offsetting
  • Pertanian : pembangunan tanaman rumput turf dan hortikultur
  • Perkhidmatan : pengurusan fasiliti dan penjagaan kesihatan
  • Pendidikan : penswastaan pendidikan
  • Teknologi Makanan : produk keterjaminan makanan

Bagi tahun ini, UPMH menerusi anak syarikatnya ingin memfokuskan kepada projek penanaman semula hutan selari dengan Kempen Penanaman 100 juta Pokok 2021-2025. Pihak UPMH juga berhasrat untuk menceburi bidang lain seperti cadangan penubuhan Pusat Dialisis dengan kerjasama daripada pihak Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS).

Sejajar dengan misi UPMHoldings bagi menyediakan perkhidmatan terbaik kepada UPM mengikut keperluan universiti, UPM Education & Training sebagai anak syarikat UPMH berpotensi untuk menyediakan sebuah program pembangunan profesional untuk meningkatkan profesionalisme kakitangan dan daya saing sesebuah organisasi.

 

Mungkinkah UPM Holding berperanan sebagai penjana kewangan penting kepada UPM pada masa hadapan?

Dengan berinspirasikan konteks ‘True North Direction’ dan berteraskan visi UPM, ia menjadi petunjuk prestasi utama bagi UPMH untuk meningkatkan sasaran dividen sebanyak RM7 juta menjelang tahun 2028.

Ini akan tercapai melalui usaha proaktif bagi pelan pelaksanaan perniagaan khusus “niche business” dengan transformasi perkhidmatan perundingan kepada industri, kediaman baharu pelajar antarabangsa, dan pemadanan penyelidikan berimpak tinggi sesuai dengan keperluan industri.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, tujuan penubuhan Universiti Awam Holdings adalah bagi menjana pendapatan kepada Universiti. Dan kami akan sedaya upaya untuk memaksimumkan serta  memanfaatkan kepakaran sepenuhnya dengan sumber yang ada di Universiti. Ini bagi tujuan penjanaan kewangan yang mampan menerusi projek yang bersesuaian dengan kepakaran sedia ada.

 

Sasaran perolehan untuk tahun ini berbanding tahun lalu?

UPMH ingin menumpukan perolehan berdasarkan sumber signature business yang sinonim dengan kepakaran Universiti Putra Malaysia. Universiti ini terkenal dengan kepakaran dalam bidang pertanian, perhutanan dan pendidikan.

Produk berimpak tinggi akan dikomersialkan untuk membangunkan reputasi tempatan dan antarabangsa untuk piawai perniagaan. Penanaman semula hutan bagi projek nurseri hutan di Hutan Simpan Ayer Hitam (HSAH), Puchong ataupun juga dikenali sebagai Sultan Idris Shah Forestry Education Center (SISFEC) merupakan tumpuan UPMH bagi tahun ini.

Selain daripada sumber dalaman, UPMH juga melalui proses inkubasi perniagaan bagi idea dan cadangan projek baharu sebelum pelan pembangunan perniagaan dibuat. Dengan pengkomersialan SISFEC, ia dapat menarik minat penyelidik dari luar untuk meluaskan jaringan dalam sektor pertanian, perhutanan dan pendidikan.

UPMH kini sedang membawa agenda Nasional iaitu berkenaan isu keterjaminan makanan melalui sekuriti makanan negara iaitu projek R.E.B.A.N (Rangkaian Eknonomi Bekalan Ayam Negara) yang mana pihak UPMH terlibat secara  langsung untuk Pembangunan Baka Biak Induk Baru dan Pengeluaran Anak Ayam Sehari Pedaging (DOC Broiler). Selain daripada itu, pihak UPMH turut memfokuskan tentang menjalankan kajian penyelidikan formulasi bahan makanan ayam yang terbaik. Usaha ini bukan sahaja tertumpu di Malaysia tetapi di peringkat Antarabangsa, antaranya Libya. Ianya selari dengan Visi UPMH untuk memartabatkan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Ambil kira senario ekonomi global dan domestik dengan unjuran KDNK yang lebih rendah, apa kesan kepada UPMH?

Unjuran KDNK yang lebih rendah bagi Malaysia untuk tahun ini adalah munasabah bagi negara-negara di rantau ini walaupun angka itu akan berada pada kadar terendah dalam julat unjuran Bank Negara Malaysia.

Pemulihan ekonomi global dapat dicapai dengan perkembangan cabang perniagaan baharu bagi mendapatkan rangsangan pertumbuhan ekonomi mengikut keperluan semasa.

Sehubungan dengan itu, UPMH ingin bergerak dengan laju seiring dengan pertumbuhan ekonomi dengan memfokuskan kepada projek pelaburan dan eko-pelancongan. UPMH akan mengambil peluang dengan perbelanjaan isi rumah yang akan terus berkembang, disokong oleh pertumbuhan gaji dan penampan kewangan yang mencukupi.

 

Harapan

Harapan UPMH bagi 5 tahun akan datang untuk tersenarai sebagai listed company di bursa Malaysia dengan merujuk kepada elemen kelestarian pendapatan serta strategik perniagaan yang berimpak tinggi secara berterusan.

UPMH ingin membuat nilai tambah dengan memperkasakan pengurusan bakat berasaskan kompetensi di universiti awam Malaysia melalui penyediaan program latihan dan pembangunan kemahiran bagi bakat-bakat yang dikenalpasti. Projek ini dapat dilaksanakan secara kerjasama strategik melalui institusi pendidikan atau pakar industri dalam menyediakan kursus yang relevan.

Antara tumpuan yang akan diberikan oleh UPMH juga membabitkan pembangunan komuniti luar bandar melalui projek ‘extension agent’. Ini untuk meningkatkan ketersampaian komuniti luar bandar untuk menjana pendapatan yang lebih baik menerusi pelbagai industri yang berpotensi. Selain itu, projek ini bertujuan untuk memperbaiki lagi kualiti hidup populasi luar bandar menerusi pertambahan infrastruktur secara sosial dan fizikal bagi merapatkan jurang ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar.

Usaha membangunkan ekonomi akan terus diperhebatkan, termasuk menggalakkan pelaburan langsung asing kerana yakin usaha itu membawa manfaat berganda kepada Malaysia. Untuk itu, beberapa sektor ekonomi baharu akan diteroka sebagai usaha UPMH untuk mempelbagaikan sumber penjanaan sebagai langkah proaktif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN