Unit amanah dikecualikan cukai CGT, FSI – Amir Hamzah

Unit amanah dikecualikan cukai CGT, FSI – Amir Hamzah

AMIR Hamzah Azizan (dua, kanan), Abdul Wahid Omar (kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swif (kanan) dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin, pada Majlis Pelancaran Bursa Pelbagai Aset dan Logo Baharu Bursa Malaysia, di Bursa Malaysia Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju mengecualikan cukai keuntungan modal (CGT) serta cukai pendapatan sumber asing (FSI) ke atas unit amanah saham.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah itu bagi memastikan rakyat terus mendapat manfaat sepenuhnya daripada keuntungan wang titik peluh mereka dan melabur untuk masa depan.

Katanya, pengecualian FSI berkuat kuasa dari 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2026 manakala pengecualian ke atas CGT berkuat kuasa dari 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2028.

“Melalui pelbagai penglibatan kami dalam perkara ini, kami mendapat perhatian bahawa satu bahagian yang tidak diingini yang terjejas oleh CGT ialah unit amanah saham, memandangkan lebih daripada 90 peratus pemegang unit amanah adalah individu.

“Saya ingin memberi jaminan bahawa kerajaan ini menghargai maklum balas dan penglibatan. Sukacita saya mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk mengecualikan pengenaan CGT serta cukai ke atas FSI ke atas unit amanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran logo baharu Bursa Malaysia dan pelancaran Bursa Malaysia sebagai Bursa Pelbagai Aset di sini, semalam.

Amir Hamzah berkata, kerajaan akan terus membuat pelaburan pasaran modal di Malaysia yang mesra rakyat.

“Selaras dengan amalan terbaik antarabangsa dan untuk mengembangkan asas cukai, kerajaan memperkenalkan CGT di Belanjawan 2024.

“Skop untuk CGT tertumpu kepada keuntungan daripada pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat. Pelupusan saham tersenarai dan pelupusan oleh individu tidak tertakluk kepada CGT,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, pembaharuan yang dimulakan oleh Kerajaan Madani membuahkan hasil apabila memperoleh RM225 bilion pelaburan yang diluluskan dalam masa sembilan bulan pertama 2023.

“Ini mewakili peningkatan 6.6 peratus daripada tahun sebelumnya, menjadikannya jumlah tertinggi untuk tempoh yang sama sepanjang dekad yang lalu.

“Ini menunjukkan bahawa pelabur memberi respon baik terhadap wawasan Ekonomi Madani, bersama dengan dokumen dasar sokongan, iaitu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” ujarnya.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, kerajaan mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak empat hingga lima peratus pada 2024, walaupun berdepan risiko ketidaktentuan luaran.

“Ini disokong oleh usaha gigih kerajaan untuk meningkatkan permintaan domestik dan menjana lebih banyak pelaburan ke dalam negara,” tambahnya.

Dalam pada itu, Malaysia menyaksikan kira-kira RM448 juta aliran masuk asing bersih dalam pasaran saham tempatan bagi tempoh 15 hari pertama 2024, menandakan momentum lanjutan belian oleh pelabur asing mulai separuh kedua tahun lepas.

Pengerusi Bursa Malaysia Bhd., Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, perkara tersebut membantu indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjakkan melepasi paras 1,500 pada Isnin, iaitu ini naik 3.2 peratus.

“Dalam 15 hari pertama bulan ini, kita telah melihat purata nilai dagangan harian (ADTV) meningkat kepada RM3.25 bilion, iaitu 58 peratus lebih tinggi daripada RM2.06 bilion ADTV untuk keseluruhan 2023,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×