PETALING JAYA: Sime Darby Plantation (SDP) melantik Mohd Haris Mohd Arshad sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan baharunya, berkuat kuasa 1 Januari 2024.
Dalam peranan baharunya, Mohd Haris akan menyelia operasi huluan Malaysia, Indonesia dan Papua New Guinea & Kepulauan Solomon.
Mohd Haris juga akan terus berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Sime Darby Oils iaitu beliau akan mengetuai usaha dalam pengembangan pasaran dan pertumbuhan hasil.
Pengarah Urusan Kumpulan SDP, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, pelantikan baharu ini menandakan kesediaan Kumpulan untuk masa depan.
“Berteraskan atas pencapaian masa lalu, kepimpinan Mohd Haris akan memainkan peranan penting dalam mengemudi perniagaan kami melalui peluang dan cabaran yang kami hadapi sebagai sebuah organisasi dengan jejak global.
“Ketika kami mengalami pertumbuhan pesat merentasi rantaian bekalan dan memperkenalkan teknologi baharu ke dalam laluan sedia ada, kami sangat menjangkakan era baharu kecemerlangan operasi di bawah bimbingan Mohd Haris,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebagai tambahan kepada tanggungjawab terasnya, Mohd Haris akan menerajui pelbagai latihan korporat utama untuk Kumpulan dan projek ini merupakan bahagian penting dalam perjalanan SDP ke arah kecemerlangan operasi, penjagaan alam sekitar dan inovasi.
“Saya juga berbesar hati mengumumkan pembentukan Pasukan Kepimpinan Operasi (OLT), berkuat kuasa 1 Februari ini yang akan dipengerusikan oleh Mohd Haris.
“OLT akan terdiri daripada tiga Ketua Pegawai Eksekutif yang bertanggungjawab untuk operasi huluan kami, Ketua Pegawai Operasi Sime Darby Oils dan Ketua Pegawai Penyelidikan dan Pembangunan.
“OLT memainkan peranan penting dalam memastikan penjajaran dan penyelarasan yang lancar bagi usaha strategik kami,” tambahnya.
Mohd Haris menyertai Kumpulan tersebut pada tahun 2014 sebagai Ketua Perdagangan dan Pemasaran dan juga mengetuai Bahagian Perkilangan Hiliran bagi Bahagian Perladangan.
Beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan Sime Darby Oils pada Mac 2019.
Dengan kerjaya yang menjangkau hampir tiga dekad, beliau memulakan perjalanan profesionalnya pada tahun 1995 sebagai peniaga dengan Cargill di Malaysia, memfokuskan pada perdagangan minyak sawit dan produk sawit.
Kemudian, beliau memegang beberapa peranan utama global dan serantau dalam perolehan koko, pengurusan risiko komoditi dan perolehan minyak dan lemak di Nestle dan Unilever.-UTUSAN










