Sewa kediaman di Kuala Lumpur RM3,192 sebulan

Sewa kediaman di Kuala Lumpur RM3,192 sebulan

Pilihan raya PBT boleh dilakukan selepas keadaan politik stabil. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar purata sewa bulanan kediaman di Malaysia tahun lalu sebanyak RM1,975, iaitu lebih sekali ganda berbanding gaji minimum rak­yat negara ini sebanyak RM1,500.

Indeks Sewa Rumah Malaysia 2023 yang dikeluarkan oleh JUWAI IQI, Kuala Lumpur merekodkan kadar sewa ter­tinggi iaitu RM3,192 iaitu lebih dua kali ganda nilai gaji purata, diikuti Selangor, seb­anyak RM1,851, juga melebihi gaji mini­mum.

Kerajaan melaksanakan gaji mi­nimum sebanyak RM1,500 me­libatkan majikan yang mempunyai kurang lima pekerja, berkuat kuasa bermula 1 Julai 2023.

Penguatkuasaan di bawah Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 itu melibatkan semua sektor termasuk perladangan, pertanian dan pembuatan kecuali perkhidmatan domestik dan aparentis.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, data itu menunjukkan kadar sewa di seluruh Malaysia pada 2023 meningkat sebanyak 5.5 peratus tahun ke tahun.

“Sewa tu sebanyak 7.4 peratus lebih tinggi daripada kadar sewa semasa fasa terburuk pandemik.

“Pada suku keempat, sewa turun sebanyak 1.2 peratus berbanding suku ketiga, namun ia 5.5 peratus lebih tinggi daripada pada suku keempat 2022,” kata­nya dalam kenyataan, semalam.

Jelasnya, faktor penyumbang kepada kenaikan itu termasuk keseimbangan penawaran-permintaan, variasi bermusim dan aktiviti pelabur.

Beliau menjangkakan, kadar sewa berkenaan akan terus meningkat pada tahun ini terutama di tiga lokasi tumpuan ia­itu Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Iskandar Puteri didorong oleh kemasukan lebih ramai pelancong dan pelajar antarabangsa serta penyewa bersifat jangka pendek.

Mengulas kadar sewa di Kuala Lumpur dan Selangor, beliau berkata, data itu mendapati, sewa di KL naik 28.4 peratus pada suku keempat 2023, manakala Selangor meningkat 10.7 peratus daripada suku keempat 2022, dan 5 peratus lebih tinggi berbanding suku keempat 2019.

“Pelabur sedang mengkaji data ini dengan teliti, kerana kadar faedah yang tinggi telah menyebabkan pemilikan kediaman jadi lebih mahal, justeru lebih ramai memilih untuk menyewa. Suasana ini boleh mencetuskan persaingan dan kadar sewa yang lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×