SENADI Hills fasa 2B oleh UEM Sunrise di Iskandar Puteri, Johor mendapat sambutan yang kukuh dalam kalangan pembeli setelah 55 unit bukan bumiputera habis terjual tidak lama selepas dilancarkan pada 18 Disember lalu.
Sementara itu, 56 peratus daripada lot bumiputera pula telah ditempah sehingga kini.
UEM Sunrise berkata, projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM76.82 juta itu melibatkan 91 rumah teres dua tingkat dengan saiz binaan seluas 2,222 kaki persegi.
Katanya, kediaman yang dibangunkan mempunyai empat bilik tidur dilengkapi dengan bilik air dan dijual pada harga bermula dari RM738,650.
“Ruang legar di tingkat atas kediaman ini juga berfungsi sebagai kawasan sosial, di samping mempunyai anjung kereta yang luas untuk dua buah kereta.
“Senadi Hills fasa 2B dijangka siap pada suku keempat tahun depan. Fasa sebelumnya iaitu 1A, 1B dan 2A yang dilancarkan pada Jun dan November 2020 serta Jun 2023, masing-masing telah habis terjual,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Senadi Hills ialah komuniti pembangunan bercampur eksklusif yang terdiri daripada rumah kontemporari yang cantik, lengkap dengan dataran kejiranan komersial.
Pembangunan seluas 25 hektar itu terdiri daripada sejumlah 398 unit kediaman bersambung pegangan bebas dan 53 lot kedai, melibatkan GDV melebihi RM408.96 juta.
“Kawasan kediaman ini mudah diakses melalui Lebuhraya Link Kedua, Lebuhraya Pantai Iskandar, Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Pasir Gudang dan Lebuhraya Skudai.
“Selain itu, pembangunan ini juga terletak berdekatan dengan kemudahan dan tarikan berdekatan seperti Legoland Malaysia, pasar raya, EduCity, Hospital Gleneagles, NSK Trade City, Horizon Hills Golf & Country Club dan Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour,” ujarnya.
Tambah UEM Sunrise, Senadi Hills juga berjiran dengan perbandaran matang seperti Bukit Indah, Horizon Hills dan Eco Botanic.
Menurutnya, Senadi Hills telah memenangi Anugerah Pembangunan Rumah Bertanah Terhubung Terbaik dalam Anugerah Hartanah Asia PropertyGuru. – UTUSAN










