Sektor hartanah dijangka berkembang 2024

Sektor hartanah dijangka berkembang 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASARAN hartanah dijangka meningkat secara keseluruhannya pada 2024 bagi kedua-dua sektor iaitu kediaman dan komersial, kata penganalisis.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Fuad Mohamed Berawi berkata, hartanah komersial dijangka berkembang berdasarkan unjuran prestasi ekonomi yang meningkat sekitar empat hingga lima peratus pada 2024.

Katanya, ia lebih tinggi berbanding 3.3 peratus dan 2.9 peratus masing-masing pada suku ketiga dan kedua 2023, disokong oleh permintaan dalam negara.

“Prestasi ekonomi ini turut disokong dengan komitmen pelaburan yang diluluskan bernilai RM132.6 bilion pada separuh pertama 2023.

“Momentum ini dapat dilihat daripada aliran positif dana pelabur asing dalam ekuiti Malaysia pada suku ketiga 2023 yang mencatatkan pembelian bersih berjumlah RM674 juta,” katanya di sini baru-baru ini.

Sementara itu, beliau berkata, sektor hartanah kediaman pula dijangka terus naik hasil sokongan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang juga dijangka berkembang kepada 4.7 peratus berbanding 4.0 peratus pada 2023.

“Perkembangan ini juga disokong dengan purata gaji di Malaysia dijangka meningkat sebanyak 5.1 peratus pada 2024.

“Keseluruhannya, sektor kediaman ini menjadi pemacu utama aktiviti pasaran dengan 62.5 peratus sumbangan daripada jumlah keseluruhan berdasarkan Laporan Pasaran Harta Tahun 2022,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fuad juga menjangkakan harga hartanah kediaman mungkin meningkat sekiranya harga bahan mentah global melonjak dan ringgit terus melemah.

Jelasnya, peningkatan dijangka sekitar 10 hingga 11 peratus di bandar besar di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang, manakala peningkatan di kawasan lain hanya sekitar lima hingga enam peratus berdasarkan indeks dan tinjauan hartanah pada suku keempat Malaysia 2023.

“Namun begitu, perkembangan akan memberikan kesan makro yang positif kepada pasaran Malaysia terutama kepada pemaju, ejen hartanah, institusi kewangan dan bank-bank peminjam,” ujarnya.

Mengulas mengenai lebihan penawaran dalam sektor hartanah komersial seperti pusat beli-belah dan ruang pejabat, beliau berkata, perkara tersebut bukanlah isu baharu.

“Antara usaha yang pemilik pusat beli-belah boleh lakukan untuk menaikkan semula perniagaan ialah dengan mengurangkan kadar sewaan bagi menarik lebih banyak peniaga dan mengurangkan harga jualan seterusnya menarik pengunjung yang lebih ramai,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, pemaju perumahan ada menyatakan kos sewaan dijangka naik sehingga 10 peratus pada 2024.

“Ini sekaligus akan menaikkan sewaan sebanyak 10 peratus pada hartanah komersial dan persendirian,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×