PETALING JAYA: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada AS$113.5 bilion pada 29 Disember 2023 daripada AS$112. 8 bilion setakat 15 Disember lalu.
Bank Pusat itu memberitahu, paras rizab telah mengambil kira perubahan suku tahunan bagi penilaian semula pertukaran asing.
“Paras rizab memadai untuk membiayai 5.4 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek,” katanya dalam kenyatan.
Menurutnya, komponen utama rizab ialah rizab mata wang asing (AS$100.9), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.4), hak pengeluaran khas (SDR) (AS$5.8), emas (AS$2.6) dan aset rizab lain (AS$2.8).
Menurut BNM, jumlah aset berjumlah, RM630.97 bilion terdiri daripada emas dan pertukaran wang asing serta rizab-rizab lain termasuk SDR (RM520.75 juta), kertas Kerajaan Malaysia (RM13.0 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM1.2 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM24.2 bilion), tanah dan bangunan (RM4.13 bilion) dan aset-aset lain (RM67.6 bilion).
Dalam pada itu, BNM berkata, bagi modal dan liabiliti pula, modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM186.7 bilion), mata wang dalam edaran (RM161.8 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM176.52 bilion), Kerajaan Persekutuan (RM3.526 bilion) dan lain-lain (RM40.01 bilion).
Selain itu, ia turut merangkumi Kertas Bank Negara (RM29.23 bilion), Peruntukan Hak Pengeluaran Khas (RM29.7 bilion) dan liabiliti-liabiliti Lain (RM3.27 bilion). – UTUSAN










