Ringgit susut nilai berbanding rupiah

Ringgit susut nilai berbanding rupiah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk hari kedua berturut-turut minggu ini apabila dolar AS memperoleh kekuatan berbanding mata wang lain, kata penganalisis.

Pada pukul 9.32 pagi, ringgit menyusut kepada 4.6835/6880 berbanding dolar AS daripada penutup Isnin pada 4.6670/6745, memetik laporan Bernama.

Laporan itu memetik Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, terdapat sedikit permintaan untuk dolar AS yang selamat berikutan kebimbangan geopolitik yang tinggi di Asia Barat, AS dan China.

Beliau menambah, pasaran juga memerhatikan isyarat dasar daripada pemimpin Rizab Persekutuan (Fed) minggu ini mengenai kemungkinan menolak penurunan kadar faedah pada Mac berikutan inflasi yang berterusan.

“Dagangan lebih lemah berikutan tiada pemotongan kadar dari China, yang tidak baik untuk pertumbuhan. Jadi terdapat sedikit negatif berganda di bahagian dasar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, terdapat mood mengelak risiko pada masa ini dengan China dilaporkan mengalami trend deflasi dengan indeks harga penggunanya mencatatkan bacaan negatif selama tiga bulan berturut-turut.

Pada masa yang sama, katanya, People’s Bank of China mengejutkan pasaran dengan tidak memotong kadar faedah penanda arasnya manakala dolar AS memperoleh kekuatan berbanding mata wang utama termasuk euro dan pound British.

“Berikutan ini, ringgit terus menyusut berbanding dolar AS, menembusi paras rintangan serta-merta semalam pada RM4.6611. Mata wang tempatan berlegar pada RM4.6840 setakat 8.52 pagi, susut 0.28 peratus daripada penutupan semalam,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia lebih rendah berbanding euro kepada 5.1158/1207 daripada 5.1076/1158 pada semalam. Ringgit juga lebih lemah berbanding pound British kepada 5.9443/9500 daripada 5.9388/9483, dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.2103/2316 daripada 3.2029/2085 sebelumnya.

Ringgit turut rendah berbanding kebanyakan mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.3406/3580 daripada 13.3518/3802, tetapi susut berbanding dolar Singapura kepada 3.5051/5087 daripada 3.4982/5041. Ringgit juga susut nilai berbanding rupiah Indonesia kepada 301.0/301.5 daripada 299.9/300.6 dan peso Filipina kepada 8.38/8.39 daripada 8.36/8.38. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×