PETALING JAYA: Ringgit dibuka rendah pada awal dagangan pagi ini, hari pertama tahun baharu 2024.
Memetik laporan Bernama, sentimen untuk mata wang tempatan kekal kukuh selepas menutup hari dagangan terakhir 2023 lebih tinggi dengan marginal 0.3 peratus.
Menurut laporan itu, pada pukul 9 pagi ini, ringgit menambah nilai kepada 4.5910/5965 berbanding dolar AS, daripada penutup Jumaat lalu pada 4.5900/5980.
Kumpulan AmBank berkata, ringgit mengukuh 0.3 peatus pada hari dagangan terakhir 2023 untuk ditutup di bawah paras 4.60 pada 4.594, tertinggi sejak Ogos 2023, dan diniagakan dalam julat 4.578 hingga 4.615.
“Walaupun kami fikir [terdapat] peningkatan lagi kepada ringgit, dagangan berhati-hati mata wang itu masih mungkin menjelang data ekonomi AS baharu minggu ini.
“Pelabur kini akan memberi tumpuan kepada pasaran buruh utama AS dan data indeks pengurus pembelian minggu ini untuk memulakan 2024,” katanya dalam nota penyelidikan.
Mata wang tempatan didagangkan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia lemah berbanding yen Jepun kepada 3.2519/2560 daripada 3.2356/2415 pada Jumaat, namun meningkat berbanding euro kepada 5.0675/0736 daripada 5.0729/0817, dan susut berbanding pound sterling kepada 5.8416/8486 daripada 5.8321/8422.
Ringgit juga didagangkan lebih rendah atau kekal tidak berubah berbanding mata wang ASEAN.
Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4786/4833 daripada 3.4746/4812 pada penutup Jumaat lalu, dan hampir mendatar berbanding peso Filipina pada 8.28/8.30 daripada 8.28/8.31 sebelumnya.
Mata wang tempatan menyaksikan perubahan kecil berbanding rupiah Indonesia pada 298.1/298.5 daripada 298.1/298.6 dan susut berbanding baht Thailand kepada 13.3728/3954 daripada 13.3422/3760.
Pasaran Asia ditutup semasalam, sempena cuti Tahun Baharu 2024. – UTUSAN










