Ringgit: Dagangan awal tahun rendah tak beri kesan besar

Ringgit: Dagangan awal tahun rendah tak beri kesan besar

KERAJAAN komited menggunakan teknologi digital mutakhir bagi memastikan penyaluran bantuan dilakukan dengan kaedah mudah difahami oleh rakyat - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dagangan ringgit yang lebih rendah sejak pagi kelmarin dijangka tidak memberi kesan yang besar kepada pengukuhan mata wang negara pada minggu ini, kata penganalisis.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Fuad Mohamed Berawi berkata, ringgit dilihat akan stabil dan bergerak perlahan tanpa kenaikan drastik yang memberangsangkan.

Katanya, ringgit dijangka berlegar-legar di sekitar RM4.55 hingga RM4.65 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sepanjang minggu ini.

“Peningkatan ini didorong dengan dagangan negara yang berkembang sebanyak 6.8 peratus kepada RM239.52 bilion awal suku keempat lalu dengan paras keseluruhan RM2 trilion pada Oktober 2023.

“Turun naik ringgit ketika ini didorong oleh nisbah perdagangan luar. Ringgit dijangka kekal perlahan disebabkan peningkatan eksport yang agak rendah iaitu 1.5 peratus pada RM126.19 bilion berbanding import yang lebih tinggi, tumbuh 13.4 peratus kepada RM113 bilion,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sementara itu, beliau berkata, ringgit mencapai kemuncak urus niaga yang menggusarkan dengan RM4.70 bagi setiap dolar AS pada 13 Disember 2023 lalu.

Menurutnya, Bank Negara Malaysia (BNM) di satu pihak terus mengekal dasar berhati-hati dan mengelakkan campur tangan bagi memastikan sentimen pasaran mata wang kekal teratur.

Jelasnya, kerajaan melalui Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di satu pihak lagi tidak bercadang untuk campur tangan segera bagi mengelakkan kos besar yang lebih penting untuk keperluan rakyat dan pembangunan ekonomi negara.

“Campur tangan BNM dan kerajaan juga dikhuatiri meningkatkan kebimbangan pelbagai pihak yang mungkin mencetuskan suasana panik. Dasar berhati-hati BNM dan kerajaan yang membiarkan ekonomi pasaran bergerak kemudiannya menunjukkan trend meningkat yang konsisten.

“Ringgit terus meningkat kepada RM4.66 pada 20 Disember 2023 dan RM4.58 pada penghujung 29 Disember 2023. Walaupun ringgit jatuh kepada 4.5910/5965 pada pembukaan tahun baharu 2 Januari 2024, berbanding 4.5900/5980 pada Jumaat sebelumnya.

“Namun, pasaran masih lagi dalam trend meningkat dalam masa sebulan kebelakangan sehingga penutup tahun 2023,” ujarnya.

Dalam pada itu, AmBank Group Economic Research dalam laporan Gambaran Pasaran Hariannya berkata, ringgit diniagakan lebih lemah dalam suasana penghindaran risiko dan pergerakan menurun dalam mata wang serantau.

“Ringgit melemah sebanyak 0.3 peratus ditutup pada 4.606 dan didagangkan dalam julat 4.589 dan 4.607. Ini selepas ia ditutup pada Jumaat lepas pada paras di bawah 4.60 dan di tengah-tengah suasana pengambilan risiko yang terjejas dan hasil global yang lebih tinggi,” ujarnya.

Pada 9 pagi semalam, ringgit turun ke paras 4.6205/6250 berbanding dolar AS daripada 4.6035/6080, sebelum ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×