PETALING JAYA: RHB Banking Group (RHB) melantik Datuk Fad’l Mohamed sebagai Pengarah Urusan Perbankan Borong Kumpulan (GWB) baharu berkuatkuasa 2 Februari 2024.
RHB dalam kenyataannya berkata, Fad’l mempunyai pelbagai pengetahuan dan pengalaman dalam pasaran modal dan perbankan pelaburan yang menjangkau lebih dari dua dekad.
Katanya, Fad’l merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank yang memainkan peranan penting dalam memacu perniagaan perbankan pelaburan.
Bank berkata, beliau memulakan kerjaya sebagai peguam di Tetuan Rashid & Lee pada tahun 1991 sebelum menyertai Suruhanjaya Sekuriti pada tahun 1993 dan berpindah ke Dresdner Kleinwort Benson, sebuah firma perbankan pelaburan.
Tambahnya, Fad’l mengasaskan Maestro Capital Sdn. Bhd. pada 2004 dan menjadi penasihat kewangan korporat berlesen yang menasihati penggabungan dan pengambilalihan, pengumpulan modal dan tawaran awam permulaan (IPO) sehingga 2015 apabila menyertai Maybank Investment Bank.
Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Imperial College London, United Kingdom (UK), Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari University of London, UK dan Felo Chartered Banker dengan Asian Institute of Chartered Bankers.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, RHB Banking Group, Mohd. Rashid Mohamad berkata, pengalaman yang dimiliki oleh Fad’l dapat memimpin Perbankan Borong Kumpulan itu dengan baik.
“Pemahaman beliau yang mendalam mengenai pasaran kewangan dan keupayaan kepimpinan adalah penting bagi mengemudi landskap kewangan yang kompleks, memacu strategi korporat Kumpulan ‘Together We Progress 2024’ dan meningkatkan nilai untuk pelanggan kami,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Rashid berkata, pelantikan itu merupakan satu langkah strategik melengkapkan program perancangan penggantian dan menggabungkan kepakaran luaran dengan kumpulan bakat sedia ada untuk memupuk pasukan kepimpinan yang lebih pelbagai.-UTUSAN










