PLSB meterai perjanjian konsesi dengan KKM 

PLSB meterai perjanjian konsesi dengan KKM 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) melalui anak syarikat milik penuhnya, Pharmaniaga Logistics Sdn. Bhd. (PLSB) memeterai perjanjian konsesi dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk perkhidmatan logistik bekalan perubatan.

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Pharmaniaga berkata, perjanjian itu akan berkuat kuasa secara retrospektif mulai 1 Julai 2023 dan kekal berkuat kuasa bagi tempoh tujuh tahun sehingga 30 Jun 2030, tertakluk kepada penamatan terdahulu.

Menurut kenyataan itu, di bawah perjanjian tersebut PLSB diberikan hak untuk melaksanakan perolehan, penyimpanan, pembekalan dan penghantaran produk perubatan kepada pelanggan sektor awam.

“PLSB juga diberi kuasa untuk menjalankan perkhidmatan Sistem Maklumat Farmasi dan membina atau memperoleh empat gudang baru untuk penyimpanan produk perubatan,” katanya.

Bagaimanapun, nilai kontrak itu tidak didedahkan kerana syarikat farmaseutikal menyatakan bahawa maklumat yang diberikan di bawah perjanjian itu perlu dirahsiakan sepenuhnya.

Sebelum ini, PLSB diberikan perjanjian konsesi oleh KKM.

Kontrak itu kemudian diberikan lanjutan lima tahun untuk tempoh interim 25 bulan, dari 1 Disember 2019 hingga 31 Disember 2021.

Lanjutan dalam tempoh enam bulan lagi diberikan dari akhir Disember 2022 hingga akhir Jun 2023, sementara menunggu pemuktamadan perjanjian konsesi baharu.

Pada 12 Julai 2023, Pharmaniaga mengumumkan bahawa KKM telah mengeluarkan surat kepada PLSB untuk perjanjian konsesi tujuh tahun baharu untuk menyediakan perkhidmatan logistik bekalan perubatan kepada kementerian.

“Walaupun terma perjanjian perkhidmatan logistik bekalan perubatan baharu sedang dimuktamadkan, PLSB akan terus menyokong dan memberikan perkhidmatannya kepada kementerian berdasarkan syarat-syarat yang telah dipersetujui,” katanya.

Pharmaniaga dimiliki 52 peratus oleh Boustead Holdings Bhd. yang dimiliki 97.63 peratus oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berikutan penswastaan kumpulan itu dan LTAT  mempunyai kepentingan langsung sebanyak 8.6 peratus dalam Pharmaniaga.

Pharmaniaga telah diklasifikasikan sebagai syarikat Nota Amalan No.17 (PN17) sejak Februari 2023 selepas mengalami kerugian berikutan kemerosotan nilai setengah bilion ringgit.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×