PETALING JAYA: Jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 6.2 peratus tahun ke tahun, kepada RM142.6 bilion pada November 2023, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Bagi perbandingan bulanan, nilai jualan kembali positif dengan peningkatan marginal 0.2 peratus berbanding Oktober 2023.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan dipacu oleh subsektor perdagangan borong yang meningkat 6.2 peratus atau RM3.7 bilion kepada RM63.2 bilion.
Kata beliau, perdagangan runcit juga berkembang dengan mencatatkan 4.4 peratus atau RM2.6 bilion kepada RM61.3 bilion, diikuti oleh kenderaan bermotor dengan pertumbuhan dua digit 12.7 peratus atau RM2.0 bilion untuk berada pada RM18.1 bilion.
“Pertumbuhan 6.2 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan borong didorong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat RM2.1 bilion atau 9.3 peratus kepada RM24.2 bilion.
“Ini diikuti oleh jualan borong barangan isi rumah (5.2 peratus), jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (9.5 peratus); jualan borong makanan, minuman dan tembakau (2.3 peratus); jualan borong jentera; peralatan dan bekalan (2.6 peratus); perdagangan borong tanpa pengkhususan (3.3 peratus) dan jual borong berdasarkan kontrak atau yuran (4.1 peratus).
“Walau bagaimanapun, bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong menyusut 0.2 peratus, terutamanya disebabkan oleh lain-lain pengkhususan jualan borong (-1.1 peratus); jualan borong barangan isi rumah (-1.5 peratus) dan jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (-1.1 peratus),” katanya dalam laporan Prestasi Perdagangan Borong dan Runcit November 2023.
Mengulas lanjut subsektor perdagangan runcit, Mohd. Uzir berkata, kenaikan 4.4 peratus tahun ke tahun pada November disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang tumbuh 6.5 peratus atau RM1.4 bilion kepada RM23.4 bilion.
Beliau turut mengulas pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 12.7 peratus bagi subsektor kenderaan bermotor yang dipacu oleh jualan kenderaan bermotor yang melonjak 13.5 peratus atau RM1.2 bilion kepada RM10.0 bilion.
Ia diikuti oleh jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor (14.5 peratus) dan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (16.3 peratus).
Bagi indeks jualan runcit melalui internet, indeks itu jatuh 1.0 peratus tahun ke tahun pada November berbanding -0.3 peratus pada Oktober 2023. – UTUSAN










