PETALING JAYA: Pelabur asing terus menjadi pembeli bersih ekuiti domestik di Bursa Malaysia berjumlah RM524.9 juta pada minggu keempat berturut-turut, minggu lalu.
MIDF Research dalam Laporan Aliran Dana minggu berakhir 5 Januari 2024 melaporkan, minggu lalu menyaksikan aliran masuk pelaburan asing bersih untuk setiap hari dagangan kecuali Selasa.
Katanya, Selasa mencatatkan jualan asing bersih sebanyak RM23.3 juta, dengan aliran keluar tertinggi diperhatikan dalam Inari Amertron (RM13.6 juta), My E.G. Services (RM10.7 juta) dan Public Bank (RM7.9 juta).
“Sektor yang mencatatkan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah utiliti (RM208.9 juta), perkhidmatan kewangan (RM156.0 juta) dan hartanah (RM126.9 juta).
“Sementara itu, sektor dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah teknologi (RM69.4 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM64 juta) dan telekomunikasi dan media (RM16.0 juta),” katanya dalam laporan tersebut.
Firma penyelidikan itu berkata, institusi tempatan terus menjadi penjual bersih untuk minggu ketiga berturut-turut dengan jumlah RM141.6 juta.
MIDF Research berkata, sektor perkhidmatan kewangan menyaksikan aliran keluar bersih tertinggi daripada kumpulan pelabur ini berjumlah RM139.7 juta.
“Peruncit tempatan beralih kepada penjual bersih ekuiti domestik berjumlah RM383.3 juta. Ini menandakan pembalikan daripada angka minggu sebelumnya sebanyak RM24.3 juta.
“Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan ketara dalam purata volum dagangan harian (ADTV) dalam kalangan peruncit tempatan iaitu naik 44.8 peratus, institusi tempatan (22.6 peratus) dan pelabur asing (50.8 peratus),” ujarnya. – UTUSAN










