OPR kekal mampu sokong ekonomi domestik

OPR kekal mampu sokong ekonomi domestik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus menjelang mesyuarat dasar monetari pada minggu depan, sejajar menyokong ekonomi domestik yang terus memacu ekonomi negara.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, tindakan tersebut dapat menyokong sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.5 hingga 5.5 peratus yang disasarkan kerajaan untuk 2024.

Katanya, trend eksport dan import negara yang jatuh seiring dengan penurunan perdagangan antarabangsa dengan China iaitu rakan dagang terbesar untuk 12 tahun berturut-turut, maka tumpuan adalah kepada ekonomi domestik.

“Ini terutamanya bagi me­ngekalkan kos kewangan yang munasabah iaitu kadar OPR yang kini berada pada aras 2019, iaitu sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia.

“Kos atau kadar pinjaman yang dikekalkan akan memudahkan perniagaan untuk membuat unjuran perniagaan masing- masing kerana kestabilan kos kewangan adalah sesuatu yang sukar diperoleh ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Jelas beliau, kadar inflasi negara pula terus menurun dari 4.5 peratus pada September tahun lalu kepada 1.5 peratus sahaja pada November 2023.

“Kenaikan OPR yang bermula 2022 adalah untuk menangani kadar inflasi yang tinggi. Kini, kadar inflasi negara dalam keadaan terkawal walaupun tekanan kadar inflasi global yang belum surut.

“Ini berikutan pergolakan geopolitik yang berterusan dan pasaran kewangan global yang dipengaruhi oleh tindakan dan keputusan yang dibuat oleh pihak  Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) dari masa ke semasa,” ujarnya.

Sementara itu, Felo Penyelidik Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Shazida Jan Mohd. Khan berkata, penetapan OPR amat bergantung  kepada reaksi ekonomi AS.

Menurutnya, AS dilihat berkemungkinan menurunkan inflasi secara berperingkat.

“Saya berharap OPR dikekalkan bagi membantu pertumbuhan ekonomi domestik dan memberi jaminan kepada pelaburan.

“Disamping itu, perlu ada mekanisme untuk mengekalkan kecairan tunai dan ini akan membantu meningkatkan momentum ekonomi domestik,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya