KUALA LUMPUR: Tindakan seorang lelaki berperwatakan wanita membuat pembedahan payu dara di sebuah klinik estetik di ibu negara menyebabkan dia terpaksa menahan sakit selama dua tahun.
Lebih malang, mangsa dikenali sebagai Alice Loo telah menghabiskan sebanyak RM23,400 bagi mendapatkan saiz payu dara impiannya selepas melihat promosi klinik berkenaan di dalam laman sosial Facebook.
Rupa-rupanya individu yang melakukan pembedahan itu adalah doktor palsu.
Menurut Alice, disebabkan percaya dengan hantaran tersebut, dia melakukan pembedahan tersebut, namun selepas beberapa bulan mengalami kesakitan pada payu daranya.
“Sebab selalu rasa sakit, saya buat aduan di Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang kemudian turut mengesahkan bahawa klinik itu tiada lesen untuk praktis di Malaysia selain dilakukan oleh seorang doktor warga China. Saya turut disarankan untuk buat laporan di Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS),” katanya dalam sidang akhbar di Jalan Tun Razak di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Alice memberitahu, maklum balas Kementerian Kesihatan (KKM) pula menyuruh mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut terhadap klinik itu.
Sejurus arahan itu dikeluarkan, Alice membuat laporan polis, namun diminta merujuk semula kes tersebut kepada KKM.
“Disebabkan terlalu lama menahan sakit, payu dara kini seakan tidak seimbang dan kerap rasa sakit pada bahagian kanan buah dada,” jelasnya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya sedang berusaha mendapatkan jawapan daripada pihak berkuasa berhubung kes ini.
Jelasnya, mangsa kini sedang berada dalam keadaan tertekan selepas aduan yang dibuatnya seolah-olah tidak diterima oleh mana-mana pihak berkuasa.
“Justeru, pada 30 April lalu kami buat laporan polis kali kedua dan memasukkan spesifik undang-undang yang mana siasatan perlu dijalankan di bawah Seksyen 416 Kanun Keseksaan kerana melakukan penyamaran.
“Bagaimanapun, sehingga kini tidak dapat maklum balas daripada pihak polis. Mangsa turut memaklumkan klinik tersebut sudah ada cawangan di Johor,” katanya. – UTUSAN










