OCBC Al-Amin, RHB Islamic jalin kerjasama

OCBC Al-Amin, RHB Islamic rintis pembiayaan bertempoh hijau Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: OCBC Al-Amin Bank Berhad (OCBC Al-Amin), anak syarikat perbankan Islam OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC), melanjutkan kemudahan pembiayaan bertempoh hijau Islam bernilai AS$175 juta (RM805 juta) kepada RHB Islamic Bank Berhad (RHB Islamic).

Menurut kenyataan bank itu, kemudahan tersebut menjadikan OCBC Al-Amin Bank yang pertama untuk menawarkan kemudahan pembiayaan bertempoh mata wang asing hijau Islam, daripada bank kepada bank.

Kemudahan it juga yang pertama untuk menyediakan pembiayaan bertempoh Islam menggunakan pendekatan ‘penggunaan hasil’ dalam kalangan institusi kewangan di Malaysia.

RHB Islamic akan menggunakan kemudahan pembiayaan hijau Islam itu untuk menyediakan penyelesaian pembiayaan alam sekitar, sosial dan takbir urus (ESG) serba lengkap kepada pelanggannya, sejajar dengan rangka kerja aset lestari Kumpulan RHB.

Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Al-Amin, Tuan Syed Abdull Aziz Syed Kechik berkata, kemudahan tersebut penting dalam perjalanan negara dan juga OCBC Bank ke arah mencapai agenda kelestarian dan menjadi perantara berasaskan nilai dalam industri perbankan Islam.

Katanya, perkara tersebut sejajar dengan Rangka Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026 yang disusun oleh Bank Negara Malaysia (BNM) .

“Kami sukacita untuk bekerjasama dengan RHB Islamic dalam kemudahan pembiayaan hijau ini yang merupakan penyelesaian kewangan patuh Syariah penting bagi negara ini.

“Bank akan terus mengukuhkan usaha pembiayaan hijau kami, menerusi kerjasama erat dengan rakan-rakan industri untuk mencapai penghasilan karbon bersih sifar di Malaysia menjelang 2050,” katanya.

Pengarah Urusan RHB Islamic, Datuk Adissadikin Ali berkata, kemudahan pembiayaan bertempoh hijau berlandaskan syariah ini sejajar dengan nilai-nilai teras RHB Islamic yang meliputi perbankan bertanggungjawab dan beretika.

“Ini sejajar juga dengan komitmen untuk berpegang kepada prinsip perantara berasaskan nilai (VBI) dan prinsip ESG Kumpulan Perbankan RHB. Malah, ia juga menyokong Strategi dan Peta Hala Tuju Kelestarian kami, khususnya aspirasi kami untuk mencapai emisi Karbon Bersih Sifar menjelang 2050.

“Menerusi penyelesaian kewangan inovatif ini, kami berharap untuk berkhidmat untuk memenuhi keperluan pelanggan dan rakan-rakan niaga kami dengan memberikan mereka lebih banyak pilihan pembiayaan hijau yang menawarkan kadar kompetitif,” ujarnya.

Kemudahan pembiayaan bertempoh hijau Islam ialah pembiayaan yang mematuhi keperluan syariah dan menggalakkan pembiayaan hijau daripada bank kepada bank.

Pembiayaan menggunakan kaedah ‘hasil penggunaan’ untuk menumpukan hasil pembiayaan terus kepada segmen ekonomi bersasar dengan cara yang bertanggungjawab dari segi alam sekitar dan sosial.

Pembiayaan bertempoh ini diterapkan dalam perjanjian swap rentas mata wang, yang menyediakan mekanisme lindung nilai patuh Syariah yang melindungi pembiayaan daripada turun naik pasaran mata wang.

Pada awal tahun ini, Kumpulan OCBC yang berpangkalan di Singapura dan Kumpulan Perbankan RHB telah melaksanakan dua penyelesaian berkaitan kelestarian.

Ia melibatkan pinjaman berkaitan kelestarian dan swap rentas sempadan dua tahun bernilai 150 juta dolar Singapura (RM522 juta) antara Kumpulan OCBC dan RHB Bank Malaysia dan pinjaman berkaitan kelestarian bernilai 100 juta dolar Singapura (RM348 juta) kepada RHB Bank Singapura. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×