Northport catat rekod baharu kendalian kargo

Northport catat rekod baharu kendalian kargo

KAKITANGAN Northport meraikan kejayaan mencatat rekod baharu kendalian kargo konvensional sempena sambutan Tahun Baharu 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Bhd. (Northport) mencatatkan rekod baharu kendalian kargo konvensional setelah mengendalikan 11,405,312 Freight Weight Tonnes (FWT) pada   2023.

Northport dalam kenyataan berkata, prestasi itu mengatasi pencapaian sebelumnya iaitu sebanyak 11,115,670 FWT yang dicatatkan pada 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, segmen kargo konvensional menutup tirai 2023 dengan kejayaan yang cukup membanggakan setelah mengatasi rekod pada tahun sebelumnya dengan peningkatan sebanyak 2.6 peratus.

Jelas beliau, prestasi itu disumbangkan oleh peningkatan ketara dalam kendalian kargo pukal am yang telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 9.5 peratus berbanding tahun sebelum serta peningkatan bagi segmen kargo pukal kering dan pukal.

“Dalam segmen Roll-on Roll-off, Syarikat menyaksikan peningkatan ketara dalam pengendalian kenderaan elektrik (EV) pada 2023, berikutan polisi kerajaan mempromosikan kenderaan elektrik,” katanya.

Menurut Azman, kejayaan Northport itu hadir di sebalik cabaran disebabkan dunia mengalami pemulihan ekonomi yang perlahan dari negara perdagangan utama serta ketidakpastian perdagangan global, terutamanya pada separuh pertama 2023.

Tambahnya, Northport juga menghadapi cabaran tambahan dalam mengendalikan kargo semasa musim hujan terutamanya pada suku terakhir 2023 dalam operasi kargo konvensional.

Dalam pada itu, beliau berkata, Northport mencatatkan kendalian bulanan bagi kargo konvensional tertinggi pada Oktober 2023 dengan merekodkan 1,129,145 FWT, mengatasi rekod terbaik sebelum ini iaitu 1,078,538 FWT pada Mei 2022.

“Walaupun mengalami kekangan dari segi keluasan tanah, kami berjaya mengatasinya melalui produktiviti yang tinggi dan penambahbaikan proses.

“Kejayaan ini mempunyai makna istimewa buat Northport kerana dicapai semasa Northport menyambut ulang tahun ke-60 operasi pelabuhan di terminal Pelabuhan Utara pada 27 Disember 2023,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×