PETALING JAYA: Malaysia Building Society Berhad (MBSB) melancarkan logo baharu berkuat kuasa semalam.
Menurut kenyataannya, logo baharu itu merangkumi huruf ‘M’ mewakili perkataan ‘Malaysia’, perkataan pertama dalam nama syarikat, diikuti dengan singkatan MBSB.
Katanya, bentuk geometri logo yang melambangkan identiti organisasi adalah lebih tajam dengan menampilkan rasa moden.
“Logo ini menunjukkan komitmen Kumpulan terhadap pertumbuhan, niat strategik, inovasi dan perubahan dalam pasaran yang dinamik.
“MBSB telah berada di barisan hadapan dalam industri perkhidmatan kewangan dan pembangunan ekonomi negara selama lebih 70 tahun.
“Logo baharu itu menggantikan logo sebelumnya yang menggambarkan sebuah rumah yang merupakan peranan MBSB sebagai salah satu institusi kewangan pertama di rantau ini yang memanjangkan pinjaman perumahan kepada masyarakat,” katanya.
MBSB memiliki sepenuhnya MBSB Bank Berhad (MBSB Bank), sebuah bank perdagangan Islam dan baru-baru ini mengambil alih Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), sebuah kumpulan perbankan pelaburan.
Kumpulan MBSB ialah pemain utama dalam perbankan Islam, dengan pelbagai tawaran daripada perbankan pengguna, perbankan komersial dan perusahan kecil dan sederhana (PKS) kepada perniagaan perbankan korporat dan pelaburan.-UTUSAN










