ROMPIN: Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) dengan kerjasama RHB Bank melancarkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) menggunakan tenaga solar yang pertama di negara ini dalam kawasan ladang sawit Bandar Tun Razak, Keratong di sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Kosma, Datuk Zamri Mohamad berkata, pihaknya berbangga kerana ladang koperasi tersebut menjadi perintis dalam menyediakan kemudahan ATM kepada para pekerjanya.
Menurutnya, menerusi kerjasama itu, Kosma dan RHB Bank mencatatkan dua rekod yang boleh dimasukkan dalam Malaysia Book Of Record (MBOR) kerana mewujudkan mesin ATM dalam kawasan ladang dan menggunakan tenaga solar.
“Mesin ATM yang dipasang di pintu masuk pondok pengawal keselamatan Ladang Kosma memberi kemudahan kepada kira-kira 1,000 pekerja asing warga Indonesia dan Bangladesh mengambil gaji dan menghantar wang ke negara asal.
“Kemudahan itu juga memberikan manfaat kepada lebih 4,000 penduduk sekitar yang selama ini terpaksa ke bandar Muadzam Shah atau ke Bahau, Negeri Sembilan yang jaraknya lebih kurang 50 kilometer untuk urusan mengeluarkan wang,” katanya selepas majlis pelancaran ATM menggunakan tenaga solar di kawasan ladang sawit di Bandar Tun Razak, Keratong.
Yang hadir sama, Ketua Jualan Wilayah, Deposit Wilayah Pantai Timur RHB Bank, Noorazmadee Salleh dan Timbalan Pengerusi Kosma, Datuk Mohd. Sabri Abdullah.
Zamri berkata, mesin ATM itu turut memberi manfaat besar kepada 150 kakitangan Kosma dan ladang sekitar seperti Ladang Berembun, Ladang Felda Bera dan penduduk setempat.
“Alhamdulillah dengan adanya kemudahan ATM yang disediakan RHB Bank memudahkan penduduk di pedalaman menggunakan kemudahan mengeluar wang dan lain-lain urusan,” katanya.
Menurutnya, setiap pekerja asing di ladang itu dibayar gaji melalui akaun RHB Bank dan tidak lagi secara tunai selari dengan peningkatan teknologi perbankan negara.-UTUSAN










