PETALING JAYA: AT&S, peneraju global pembuatan papan litar bercetak (PCB) dan litar bersepadu (IC) substrat berprestasi tinggi yang berpangkalan di Austria bakal memulakan operasi pengeluaran IC pertamanya di Kulim Hi-Technology Park, Kedah.
Ketua Pegawai Eksekutif AT&S, Andreas Gerstenmayer, berkata kemudahan itu akan menghasilkan IC berprestasi tinggi untuk pembuat cip Amerika Syarikat (AS), AMD.
Jelasnya, kemudahan baharu itu dijangka akan menjadi antara penyumbang penting kepada pendapatan kumpulan pada tahun kewangan 2026 dan 2027
“Pelaburan di Kulim ini adalah antara terbesar yang dibuat oleh AT&S dan dijangka menyumbang dengan ketara kepada pendapatan syarikat sebanyak 3.5 bilion euro bagi tahun kewangan 2026 dan 2027.
“Kilang baharu di Kulim akan memulakan pengeluaran siri substrat IC untuk mikrocip generasi akan datang untuk pengkomputeran berprestasi tinggi, pusat data dan aplikasi AI (kecerdasan buatan) untuk pengeluar terkemuka seperti AMD,” katanya dalam kenyataan.
AT&S ialah salah satu peneraju untuk cip mikro dan komponen yang mengawal aliran kuasa dan maklumat berkaitan ke dalam sistem monolitik yang memastikan laluan kekal sesingkat mungkin serta memastikan maklumat boleh bergerak pada kelajuan maksimum tanpa sebarang kerugian yang ketara.
Firma Austria itu telah melabur lebih RM5.12 bilion di Kampus AT&S, tapak pengeluaran pertama kumpulan itu di Asia Tenggara.
AT&S yang turut beroperasi di Nanjangud, India, Chongqing dan Shanghai di China dan Ansan, Korea Selatan, membina kemudahan tercanggih baharu di Kulim, dengan pelaburan terancang kira-kira 1.7 bilion euro di bawah Fasa 1 daripada projek itu.
Kerja pembinaan kilang itu bermula pada November 2021 dan operasi komersial disasarkan untuk dilaksanakan pada akhir tahun ini.-UTUSAN










